Jadon Sancho akan menamatkan prestasi hambarnya dan kembali menemui prestasi terbaiknya bersama Borussia Dortmund, kata pengarah kesukanan pasukan itu, Michael Zorc.

Selepas melalui musim 2019-20 dengan gemilang di mana dia menghasilkan 20 gol dan 19 jaringan daripada 44 perlawanan, Sancho kini bergelut sejak permulaan musim ini.

Dalam 12 perlawanan lalu, pemain kebangsaan England itu hanya menjaringkan tiga gol dan menghasilkan empat bantuan jaringan -- masih belum menemui sasaran dalam Bundesliga.

Bercakap menjelang kunjungan Dortmund ke laman Eintracht Frankfurt malam ini, Zorc mempertahankan penyerang itu.

"Saya percaya amat mudah untuk melihat bahawa dia tidak berada dalam prestasi terbaiknya," katanya dalam sidang media.

"Saya boleh katakan yang dia sudah mencuba sedaya upaya apabila dia diturunkan. Dia mencuba untuk memaksa pergerakannya dengan ringan dan lancar.

"Jadon seorang pemain yang tidak banyak bercakap tetapi dia memberikan jawapannya di atas padang.

"Sama ada dalam perlawanan esok, minggu ini atau bila-bila selepas ini, saya tidak pasti.

"Apa yang saya tahu adalah ia pasti akan terjadi," katanya.