Pengarah Kesukanan Borussia Dortmund, Michael Zorc, masih enggan berbincang mengenai masa depan penyerang Salzburg, Erling Haaland, biarpun terdapat laporan mendakwa pemain itu telah ke Jerman untuk berbincang mengenai masa depannya.

Terdapat laporan di Jerman yang mendakwa penyerang itu berkunjung ke Dortmund selepas melawat RB Leipzig dan ia meningkatkan lagi spekulasi perpindahannya menjelang jendela Januari ini.

Pemain berusia 19 tahun itu, yang menjaringkan lapan gol dalam enam perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah, juga dikaitkan dengan juara Serie A, Juventus, dan beberapa pasukan Liga Perdana Inggeris seperti Liverpool dan Manchester United.

Perpindahan ke Bundesliga dilihat lebih sesuai kerana Dortmund sedang mencari seorang penyerang untuk menggantikan Paco Alcacer yang masih cedera manakala pengendali Leipzig, Julian Nagelsmann, turut dikatakan berminat untuk mendapatkan pemain itu.

Bercakap mengenai khabar angin itu, Zorc berkata dalam sidang akhbar: "Saya mahu merujuk kepada perbincangan sebelum ini, saya tidak akan komen mengenai perkara ini atau individu lain buat masa ini."

Zorc sebelum ini berkata seperti yang dipetik Kicker: "Pemain itu milik Salzburg. Ia adalah soal menghormati dan anda tidak bercakap secara terbuka mengenai pemain kelab lain."

Haaland, yang menjaringkan 28 gol daripada 22 perlawanan dalam kesemua kejohanan musim ini, dilaporkan sebagai calon terbik untuk menerajui jentera serangan Dortmund yang turut dibarisi Jadon Sancho, Julian Brandt, Marco Reus dan Thorgan Hazard.

Pasukan itu akan bertemu Mainz hujung minggu ini dan memerlukan kemenangan seandainya mahu mengecilkan jurang lima mata dengan pendahulu Bundesliga, Borussia Monchengladbach.