Borussia Dortmund tetap bercadang untuk mengekalkan khidmat Shinji Kagawa walaupun perancang tengah menyatakan rasa kecewa ekoran kekurangan peluang untuk beraksi, kata pengarah sukan kelab, Michael Zorc.

Minggu ini, Kagawa memberitahu Nikkan Sports bahawa dia mahu berhijrah ke LaLiga susulan gagal meraih peluang beraksi bersama Dortmund musim ini di bawah bimbingan pengendali baru, Lucien Favre.

Pemain Jepun itu hanya tampil sekali dalam Bundesliga dan melakukan satu penampilan bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah selaku pemain gantian sejak kehadiran Favre.

Dortmund kini berada di puncak Bundesliga dan telah mengesahkan tempat dalam pusingan kalah mati bagi aksi Liga Juara-Juara tatkala Zorc bercadang untuk berbincang dengan Kagawa mengenai masa depannya.

"Kagawa adalah pemain bernilai tinggi di Borussia Dortmund," ujar Zorc.

"Dia telah memenangi Bundesliga dan saya faham akan kekecewaannya.

"Favre dan saya merupakan bekas pemain bola sepak dan kami tahu jika anda tidak beraksi, ia membuatkan anda tidak gembira. Ia normal dan agak pelik jika dia tidak berasa sebegitu.

"Dia berhak berasa begitu. Saya telah katakan sebelum ini, kami akan berbincang dengannya selepas tamat pusingan pertama musim ini."

Dalam aksi Liga Juara-Juara berdepan Club Brugge, awal pagi semalam, Dortmund menguasai permainan tetapi gagal menembusi gawang lawan walaupun mencipta rekod 930 hantaran dan Favre menerima ketumpulan pasukannya.

"Banyak pasukan beraksi menentang kami, terutama di sini dan mengubah sistem," kata Favre.

"Brugge ternyata beraksi secara bertahan dan menunggu untuk melakukan serangan balas.

"Kami perlu menguasai permainan dengan lebih baik, pantas dan melihat peluang lebih cepat. Hantaran kami juga perlu lebih tepat.

"Banyak bola dilepaskan. Anda perlu membuatkan lawan penat, jadi dapat menghukum kealpaan mereka, sekali gus mampu beraksi lebih baik.

"Kami mahu menang, sentiasa mahu menang tetapi kami belajar setiap hari. Saya sudah katakan sebelum ini, kami harus beraksi lebih pantas dan kemas, bergerak pada waktu tepat. Bagi saya, kami kurang bergerak."