Napoli akan turun menentang Juventus awal pagi lusa tanpa Piotr Zielinski selepas pemain tengah itu didapati positif COVID-19.

Kelab itu mengumumkan semalam bahawa Zielinski dan kakitangan mereka, Giandomenico Costi, didapati dijangkiti COVID-19 dalam sesi ujian kelmarin.

Pemain kebangsaan Poland itu menghasilkan satu gol dan satu bantuan jaringan ketika membelasah Genoa 6-0 minggu lalu, di mana pasukan lawan itu mengesahkan terdapat 14 kes positif koronavirus selepas perlawanan berkenaan.

Petemuan di antara Genoa dan Torino yang sepatutnya berlangsung hari ini turut dibatalkan Lega Serie A kelmarin.

Genoa semalam mengumumkan dua lagi pemain dan seorang lagi stafnya positif dan telah membatalkan kesemua aktiviti di pusat latihan mereka sehingga Isnin ini.

Napoli, yang kini berada di puncak Serie A selepas menjaringkan lapan gol tanpa bolos dalam dua perlawanan pertama, dijadualkan untuk menjalani satu lagi ujian saringan sebelum ke Turin.