Zinedine Zidane ternyata tersilap percaturan dalam kekalahan Liga Juara-Juara (UCL) yang menyaksikan Real Madrid tumbang kepada Chelsea dan dia mungkin perlu membayarnya dengan harga mahal, menurut Predrag Mijatovic.

Madrid ditewaskan 0-2 dalam pertemuan kedua awal pagi tadi selepas Timo Werner dan Mason Mount mencetak jaringan untuk agregat kemenangan 3-1 dalam separuh akhir.

Maruah jaguh Sepanyol itu hampir tercalar teruk jika bukan kerana The Blues kurang klinikal di Stamford Bridge sementara Madrid, yang memiliki 68 peratus penguasaan permainan, hanya mampu melancarkan satu percubaan tepat ke sasaran selepas minit ke-36.

Dengan Sergio Ramos kembali memerkuatkan benteng di sebalik kecederaan Raphael Varane, Dani Carvajal dan Lucas Vazquez, Zidane kemudian memilih sistem 3-4-3 yang jarang dipertaruhkan lalu membuatkan anak buahnya kelihatan tidak begitu selesa beraksi.

Edouard Mendy menyelamatkan dua percubaan terbaik Karim Benzema dalam separuh masa pertama sebelum penjaga gol Chelsea itu lebih banyak bertindak sebagai penonton untuknya mencatat lapan rekod bersih dalam saingan UCL musim ini -- pencapaian terbaik buat seorang penjaga gawang kelab Inggeris.

Madrid, bagaimanapun, masih mampu mengakhiri musim ini dengan mempertahankan kejuaraan Laliga -- mereka mengekori Atletico Madrid dengan dua mata berbaki hanya empat perlawanan -- tetapi bekas penyerang Madrid, Mijatovic, pula khuatir kekalahan kepada wakil dari London itu mungkin akan membawa kerosakan berterusan.

"Chelsea benar-benar unggul dalam segala hal: keamatan, rentak, menciptakan peluang. Kami menyukai Zidane dan dia telah mencapai banyak kejayaan tetapi kali ini dia kesilapan besar dalam soal percaturan," katanya kepada Cadena Ser.

"Kekalahan ini mampu membawa banyak kerosakan kepada Zidane. Begitu juga tahun sebelumnya biarpun liga menawarkan sedikit kelegaan. Zidane melakukan banyak kesilapan dan ia menjadi punca penyingkiran Madrid.

"Sebaik mereka memulakan permainan, anda boleh nampak mereka tidak dapat mejelmakan rentak sebenar dan dengan Vinicius tidak diletakkan di posisi kegemarannya, Madrid gagal melakukan apa-apa.

"Mereka benar-benar kebingungan tanpa mengetahui apa yang harus dilakukan. Kita akan lihat apa yang akan berlaku dalam LaLiga kelak. Berdasarkan situasi sekarang saya tidak menjangkakan musim ini akan berakhir baik buat mereka."





Bekas penjaga gol Madrid, Santiago Canizares, pula memuji Mendy kerana menafikan usaha Benzema untuk memastikan Chelsea kekal mendahului 1-0 dalam separuh masa pertama.

"Chelsea bukan hanya mengenai fizikal. Mereka mempunyai taktik yang sangat baik dan keseimbangan dalam serangan dan pertahanan yang hebat. Mereka sangat sukar untuk ditangani," katanya.

"Kami tidak melihat sebarang keunggulan daripada Madrid. Dua peluang yang dimiliki Madrid adalah menerusi Benzema tetapi Mendy yang membantu memenangi perlawanan ini."

Zidane membimbing Madrid untuk tiga kejuaraan UCL berturut-turut dari 2016 hingga 2018, tetapi mereka terkandas di peringkat 16 dalam dua musim terakhir.

Pemain tengah, Casemiro, berasakan kem Madrid kelesuan selepas menghadapi cabaran dan masalah kecederaan sepanjang tahun ini, justeru berpendapat kekalahan itu membuktikan betapa luar biasanya kejayaan mereka mengungulinya selama tiga musim berturut-turut.

"Kami beraksi lebih baik dalam 25 minit pertama, kami mempunyai dua peluang menerusi Karim," katanya.

"Kemudian mereka menampilkan rentak yang lebih baik, mereka memiliki lebih banyak peluang tetapi kami sudah tidak boleh berpatah balik lagi jadi kami harus memikirkan LaLiga.

"Saya fikir Chelsea lebih hebat dan beraksi lebih baik daripada kami.

"Setahun ini kami mengalami krisis kecederaan, perlawanan tertangguh, gangguan COVID-19 dan tanpa peminat.

"Kami telah mencuba tetapi mereka lebih baik. Kami tidak boleh bersedih sekarang, kami harus memikirkan tentang Sevilla.

"Kami telah menunjukkan bahawa apa yang kami capai adalah sesuatu yang cukup bersejarah. Bukan mudah untuk memenangi UCL. Sekali lagi kami membuktikan bahawa bukan mudah untuk memenanginya."