GETAFE 0 REAL MADRID 0

Zinedine Zidane menggesa Real Madrid agar terus bermati-matian berjuang biarpun prospek gelaran LaLiga mereka terjejas berikutan buntu tanpa jaringan di Getafe.


Selepas merapatkan jurang dengan Atletico Madrid kepada satu mata selepas mengungguli 'El Clasico', juara bertahan itu kekal di kedudukan kedua dalam pertembungan di Coliseum Alfonso Perez itu, awal pagi tadi.

Dihimpit dengan masalah kecederaan dan penularan COVID-19, Madrid memerlukan ketangkasan penjaga gol, Thibaut Courtois, untuk menyelamatkan enam percubaan berbahaya tuan rumah.

Ia jumlah percubaan tepat tertinggi yang diselamatkan oleh pemain Belgium itu bersama kelab ibu negara Sepanyol berkenaan untuk memastikan gawangnya kebal, sementara pertahanan tengah, Eder Militao, juga sibuk mematahkan gerakan seteru.

Pertahanan dari Brazil itu menafikan 10 gerakan lawan -- terbanyak buatnya dalam satu perlawanan sepanjang mewakili Madrid dan antara pencapaian tertinggi yang pernah dilakukan oleh mana-mana pemain Los Blancos musim ini -- selepas Nacho melakukannya 11 kali ketika berdepan Liverpool dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Kubu pelawat yang diterajui ketua pasukan, Marcelo, Victor Chust, Militao dan Alvaro Odriozola menghadapi deretan umpanan silang Getafe yang mengetepikan persembahan buruk baru-baru ini apabila hanya menang sekali dalam 12 perlawanan LaLiga.

Zidane berkata selepas perlawanan itu: "Kami telah memberikan persembahan yang maksimum. Walaupun seri tetapi kami tetap akan berjuang. Ia tidak akan berakhir di sini.

"Masih banyak lagi baki perlawanan tetapi pasukan yang ingin muncul juara perlu mengerahkan segala kudrat, khususnya memiliki barisan pemainnya.

"Kami harus melakukan yang terbaik. Lihat kepada diri sendiri dan jangan melihat orang lain. Ini adalah liga yang sangat sukar dan kompetitif. Setiap tiga hari, kami perlu sentiasa dalam keadaan yang baik. Kami bermati-matian dan pemikiran kami tidak akan berubah."




Kemenangan 5-0 Atletico ke atas Eibar yang dirakam lebih awal bermakna mereka kembali dengan tiga mata di atas juara bertahan itu sementara lima mata mengatasi Barcelona yang berada di kedudukan ketiga tetapi memiliki kelebihan satu perlawanan.

Secara kebetulan, Atletico juga seri 0-0 di Getafe bulan lalu.

Toni Kroos tidak muncul dalam kesebelasan Madrid dengan Zidane menjelaskan pemain tengah itu mengadu "tidak selesa".

"Kami mempunyai banyak perlawanan lagi untuk ditempuhi dan kami tidak boleh bertindak bodoh. Kami perlu menguruskannya dengan baik," kata pengurus dari Perancis itu.

Kemenangan itu menyaksikan Madrid belum tewas dalam 11 aksi LaLiga, rekod tanpa kalah terpanjang mereka sejak Oktober 2017 dan purata umur barisan utama taruhannya musim ini adalah dalam linkungan usia 26 tahun dan 138 hari.