Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, menyifatkan dia "masih jauh" untuk bergelar pengurus terbaik dunia walaupun menikmati dua musim pertamanya bersama Los Blancos.

Dia dicalonkan sebagai pengurus terbaik FIFA bagi anugerah The Best yang bakal diumumkan pemenangnya esok dan dijangka mengungguli anugerah itu mengatasi pengendali Chelsea, Antonio Conte, dan ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri.

Bagaimanapun, Zidane tetap merendah diri walaupun memenangi kejuaraan LaLiga pada musim lalu serta muncul juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dua tahun berturut-turut.

"Saya tidak rasa saya pengurus terbaik di dunia.

"Sebaliknya saya bertuah kerana berada di kelab terbaik dunia bersama barisan pemain terbaik. Sejujurnya, saya gembira dengan apa yang dilakukan pada waktu ini.

"Jika mereka memberikan saya anugerah The Best selaku jurulatih, saya menerimanya tetapi saya tetap bukan yang terbaik," kata Zidane.

Musim lalu, bekas pemain Perancis itu berada di tempat kedua di belakang Claudio Ranieri selepas menerima undian daripada pengurus-pengurus lain, kapten pasukan kebangsaan, media dan juga peminat.