Zidane tidak kisah prestasi buruk Hazard

Oleh Penulis Jemputan 23 Oktober 2019 1177
Zidane tidak kisah prestasi buruk Hazard
GALATASARAY 0 REAL MADRID 1

Zinedine Zidane menegaskan tiada apa yang perlu dirisaukan mengenai prestasi Eden Hazard selepas penyerang Belgium itu memaparkan aksi buruk ketika Real Madrid menewaskan Galatasaray 1-0 dalam Liga Juara-Juara Eropah di Istanbul awal pagi tadi.


Proses penyesuaian Hazard di Madrid tidak berjalan lancar seperti yang diharapkan susulan perpindahan tergemparnya daripada pasukan Liga Perdana Inggeris, Chelsea, awal musim ini.

Ketika tahap kecergasannya menimbulkan tanda tanya, Hazard hanya mampu menjaringkan satu gol daripada tujuh perlawanan dalam kesemua kejohanan.

Dia sepatutnya menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol ke atas Galatasaray dan menjadi punca pasukan dari Sepanyol itu terlepas peluang dalam babak kedua dengan menyepak bola ke palang gol selepas mengatasi penjaga gol, Fernando Muslera.

Hazard, bagaimanapun, berhasil melakukan satu bantuan jaringan walaupun hantarannya itu pada awalnya ingin ditujukan kepada Karim Benzema dan bukannya penjaring gol, Toni Kroos.

"Ia tidak merisaukan saya," kata Zidane.

"Dia semakin baik dan akan terus meningkat.

"Perkara terpenting adalah dia perlu terus diberikan peluang kerana dia akan menyumbat gol," katanya.

Seorang lagi pemain kebangsaan Belgium dalam pasukan itu ialah penjaga gol, Thibaut Courtois, yang memaparkan aksi gemilang bersama Madrid dan aksi menyelamatnya dalam perlawanan itu mendapat pujian Zidane.

"Dia dengan bijak menyelamatkan kami dalam babak pertama," kata Zidane mengenai Courtois.

"Kami amat gembira untuknya dan buat keseluruhan pasukan.

"Dia memerlukan perlawanan seperti ini.

"Dia membenarkan kami untuk meraih tiga mata.

"Terdapat banyak kritikan ketika kami kalah dan hari ini kami menang.

"Kami bermain dengan perwatakan dan setiap pemain layak meraih kemenangan ini," katanya lagi.

Kemenangan itu meletakkan Madrid di tangga kedua Kumpulan A, lima mata di belakang pendahulu, Paris Saint-Germain (PSG), yang memenangi ketiga-tiga perlawanan pertama mereka.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen