Zinedine Zidane bergurau dengan berkata bahawa dia tidak akan menjadi Alex Ferguson di Real Madrid berhubung tekanan yang sedang dihadapinya selaku ketua jurulatih pasukan itu.

Madrid mengurangkan tekanan Zidane dengan kemenangan 2-0 ke atas Borussia Monchengladbach awal pagi tadi, sekali gus mengesahkan tempat dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Zidane berada dalam tempoh keduanya bersama pasukan gergasi Sepanyol itu selepas memenangi tiga gelaran UCL dan dua kejuaraan LaLiga di samping beberapa kejayaan lain ketika awal mengendalikan pasukan itu.

Pengendali berusia 48 tahun itu enggan disamakan dengan Ferguson ketika di Manchester United di mana pengurus berbangsa Scotland itu telah memastikan 27 trofi sepanjang bersama pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

"Saya tidak fikir saya dapat menjadi Alex Ferguson di Madrid, itu sudah pasti," kata Zidane dalam sidang media.

"Saya mahu menikmati apa yang saya lakukan. Saya tidak tahu berapa lama saya akan kekal di sini, saya tidak memikirkannya.

"Saya memikirkan berdasarkan hari ke hari dan bertuah untuk berada di kelab yang hebat bersama pemain hebat ini. Saya menyukainya walaupun dalam keadaan seperti ini, bukan hanya ketika menang.

"Ini adalah realiti hidup buat seseorang. Saya perlu memperbaiki beberapa perkara tetapi saya tidak tahu sampai bila. Saya sudah lama di Sepanyol, di Madrid, dan saya mahu meneruskannya sedikit lagi," katanya.

Jaringan berganda Karim Benzema dalam babak pertama sudah cukup untuk memastikan kemaraan Madrid ke pusingan kalah mati buat kali ke-29 berturut-turut. Gladbach turut mara selaku pasukan kedua terbaik selepas Shakhtar Donetsk dan Inter Milan terikat 0-0 dalam satu lagi perlawanan.

Ia menjadi kemenangan berturut-turut buat Madrid, yang kini berada di tangga keempat LaLiga dan Zidane gembira dengan prestasi pasukannya.

"Saya gembira dengan perlawanan ini. Saya fikir kami bermain dengan amat baik. Kami sedar sedar tujuan kami bermain.

"Ia sesuatu yang amat penting. Kami perlu menang. Seperti yang anda katakan, kami menamatkannya selaku pasukan teratas dalam kumpulan.

"Separuh masa pertama amat cemerlang dan yang kedua juga baik.

"Kami melakukannya dalam perlawanan Sabtu lalu dan hari ini, kami bermain dengan lebih baik," katanya lagi.