Eden Hazard cergas 100 peratus dan bersedia untuk kembali ke pangkuan pasukan apabila Real Madrid berdepan Celta Vigo dalam perlawanan LaLiga awal pagi esok, jelas Zinedine Zidane.

Pemain antarabangsa Belgium itu terlepas aksi sejak November lalu selepas dihantui masalah pergelangan kaki ketika seri 2-2 dengan Paris Saint-Germain (PSG) dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL).

Dia hanya menyumbang satu gol dalam 13 penampilan sejak diikat daripada Chelsea dengan nilai €100 juta (RM448.5j), namun terpaksa menangguhkan kemunculan sulungnya hingga September lalu ekoran kecederaan hamstring.

Bagaimanapun, Hazard sudah mula menjalani latihan penuh bersama Madrid minggu ini, lantaran itu pengurus Madrid, Zidane, mengesahkan bahawa dia boleh memainkan peranan dalam aksi di Santiago Bernabeu, awal pagi esok.

"Kita semua tahu betapa pentingnya Hazard dan itulah sebabnya kami menandatanganinya. Dia seorang pemain yang hebat, kami sangat gembira apabila dia kembali bersama pasukan," kata pengurus itu dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Dia terpinggir selama tiga bulan dan ia bukan sesuatu yang mudah. ​​Ia juga bergantung kepada rentak perlawanan itu tetapi secara fizikalnya, dia sudah cergas sepenuhnya dan bersedia untuk bersama kami.

"Kami sedar hasratnya untuk membantu kami, adalah sukar untuk tidak memiliki khidmatnya selama hampir tiga bulan akibat kecederaan.

"Kami perlu berhati-hati dan harus memberikannya masa. Itulah yang kami akan lakukan bagi memastikan dia dalam keadaan 100 peratus sebaik kembali dan dia sudah bersedia untuk beraksi."

Pemain kreatif itu disenaraikan dalam skuad 19 orang yang akan ke Celta.


Working hard and having fun... ? #halamadrid pic.twitter.com/NGQSTeb4wu
— Eden Hazard (@hazardeden10) February 12, 2020


Madrid akan turun beraksi berbekalkan kelebihan tiga mata di puncak LaLiga menjelang pertembungan 'El Clasico' menentang Barcelona di sebalik akan menghadapi Manchester City dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Dalam kempen sebelumnya, pengurus berdarah Algeria itu kerap membuat rombakan besar bagi mengimbangi kempen domestik dan Eropah, namun tetap berwaspada ketika ditanya mengenai bagaimana dia akan menangani cabaran bulan depan.

"Perlawanan yang paling mustahak adalah perlawanan esok dan selepas itu, barulah kami akan membuatkan perancangan untuk minggu depan," katanya lagi.

"Pada bulan depan, kami akan mengharungi perlawanan yang sangat penting dan dalam setiap perlawanan, kami akan mencurahkan segala kudrat kerana semuanya merupakan asas yang penting.

"Kami telah melakukannya dengan baik setakat ini tetapi kami perlu meneruskannya jika mahu memenangi sesuatu yang penting pada akhir musim ini.

"Kami tahu keadaannya dan setiap perlawanan akan bertambah sukar, tetapi kami sudah bersedia untuk berdepan cabaran itu."

Editor: Shaiful Shamsudin