Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, sedar impian bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, adalah beraksi buat Los Blancos.

Mbappe menjaringkan 33 gol dalam 29 penampilan Ligue 1 buat PSG bagi musim 2018-19 tetapi ketika musim rehat, dia mendedahkan dirinya terbuka kepada projek baru.

Bekas Naib Presiden AS Monaco, Vadim Vasilyev, minggu ini mendakwa pemenang Piala Dunia itu memberitahunya bahawa dia berpindah ke ibu negara Perancis pada 2017 kerana terlalu awal untuknya berhijrah ke Santiago Bernabeu.

Ditanya sama ada dia berfikir Mbappe akan mewakili Real satu hari nanti, Zidane memberitahu satu sidang media: "Saya tidak tahu, ia terpulang kepada pemain untuk membuat keputusan.

"Ketika ini, dia beraksi buat PSG. Kami akan lihat di masa akan datang jika ia berubah. Saya tahu dia sering mengatakan impiannya untuk beraksi buat Real Madrid."

Real akan berdepan PSG dalam aksi kedua terakhir Kumpulan A, Liga Juara-Juara Eropah pada 26 November ini tetapi pasukan bimbingan Thomas Tuchel itu bakal mengesahkan kelompok teratas jika menundukkan Club Brugge sambil Los Blancos seri menentang Galatasaray, awal pagi esok.

"Kami sentiasa gembira untuk beraksi di laman sendiri tetapi ia adalah satu tanggungjawab kerana itu merupakan saingan Liga Juara-Juara. Kami mahu tampil dengan aksi terbaik, jadi seluruh pasukan perlu mempersiapkan diri," tambah Zidane.

"Kami sentiasa menuju aksi sebegini dengan idea dan disiplin yang sama. Kami dalam keadaan yang bagus dan tahu apa perlu dilakukan. Saya tidak begitu risau sama ada ia ibarat final atau tidak.

"Saya fikir anda hanya perlu tampil dan beraksi dengan persembahan baik, mengharapkan peminat bersama anda dan cuba memenangi perlawanan. Diharapkan semua beraksi dengan baik.

"Kami sentiasa perlukan peminat untuk bersama kami dan saya fikir mereka sentiasa begitu. Mereka mahu melihat pasukan bermain dengan baik dan menang. Itu yang kami perlukan. Kami juga perlukan peminat untuk membantu serta bersama kami dalam detik sukar ketika perlawanan.

"Sewaktu kami seri 0-0 menentang Real Betis di laman sendiri, Sabtu lalu, sukar buat kami untuk mendapatkan gol tetapi kami perlukan peminat bersama kami. Pemain perlukan semua penyokong."