Zinedine Zidane tidak pasti bilakah Eden Hazard akan kembali cergas buat Real Madrid tatkala bintang Belgium itu terus bergelut di ibu negara Sepanyol.

Walaupun Madrid berjaya merampas gelaran LaLiga daripada Barcelona musim lalu, ia satu kempen yang mengecewakan buat Hazard di peringkat individu selepas tiba dengan tanda harga €100 juta (RM487.1j) daripada Chelsea.

Dia banyak berlatih bersendirian dan bergelut untuk mengulangi kemuncak prestasinya selepas menjalani pembedahan di kaki kanan.

Hazard mengakhiri musimnya dengan persembahan yang kurang bermaya ketika Madrid tersungkur kepada Manchester City dalam suku akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Pemain berusia 29 tahun itu mengikuti tugasan antarabangsa untuk perlawanan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) menentang Denmark dan Iceland tetapi tidak diturunkan walau seminit pun dan laporan di Madrid mengaitkan dia kembali menjalani latihan pra-musim dengan berat badan yang lebih.

Sebelum memulakan kempen mempertahankan gelaran di Real Sociedad awal pagi esok, pengendali itu mengesahkan pemain lincah berkenaan bakal terlepas aksi di San Sebastian.

"Saya tidak dapat memberitahu anda bilakah dia akan dapat kembali, cuma keadaan dia semakin baik," katanya.

"Apa yang penting adalah perasaan pemain. Kami masih mempunyai masa untuk persiapan musim ini.

"Satu-satunya perkara yang harus dia lakukan ialah mencapai tahap 100 peratus dan kami akan mengusahakannya."


Salah seorang bakat kreatif yang sedia memainkan peranannya ialah Martin Odegaard, yang kembali ke ibu kota Sepanyol itu selepas dipinjamkan di Real Sociedad musim lalu -- mendorong Los Blancos memilih untuk menyenaraikan pemain antarabangsa Norway berusia 21 tahun tersebut semula berbanding terus menawarkan khidmatnya di Anoeta semusim lagi.

"Dia merupakan pemain kami dan mampu menyumbang kepada pasukan," katanya mengenai Odegaard, yang sempat dipinjamkan ke Heerenveen dan Vitesse sejak bergabung dengan Madrid ketika berusia 16 tahun pada Januari 2015.

"Pemain yang datang ke Real Madrid adalah yang terbaik. Kami mempunyai ramai pilihan dan dia adalah pemain yang sangat penting dalam skuad ini. Saya tahu saya mempunyai pemain terbaik di sini.

"Perkara paling penting bagi pemain adalah bersiap sedia dan saya fikir seperti yang lain, Martin sudah bersedia.

"Martin telah berubah atas perjalanannya yang luar biasa dan dia bertambah baik setiap tahun. Dia pemain yang lebih lengkap sekarang."