Zinedine Zidane bersimpati dengan pengendali Barcelona, Ernesto Valverde, yang telah dipecat, namun tetap menjangkakan aksi sengit dalam pertembungan Clasico di bawah pengendali baru, Quique Setien.

Barca memilih untuk berpisah dengan Valverde selepas tersingkir dalam aksi separuh akhir Piala Super Sepanyol di tangan Atletico Madrid, di sebalik memenangi setiap gelaran LaLiga dalam tempoh dua musim sejak berhijrah daripada Athletic Bilbao.

Ketika ini, The Blaugrana berkongsi mata dengan Real, yang bergelar juara Piala Super selepas mengatasi Atleti menerusi penentuan penalti.

"Pertama sekali, saya bersimpati dengannya. Itu sahaja yang mampu saya katakan," kata pengurus Real, Zidane.

"Ia bukan situasi yang baik tetapi beliau merupakan seorang jurulatih yang sentiasa membuktikan krediblitinya.Saya amat kagum dengan beliau.

"Setiap kelab memiliki situasi yang berbeza. Setiap jurulatih tahu apa yang perlu mereka lakukan. Mereka mengetahui situasi berada bersama kelab gergasi.

"Jika kami tewas dua perlawanan, saya akan turut dikritik. Ia telah berlaku sebelum ini dan saya memahami situasi tersebut.

"Kami tidak sentiasa dapat bermain baik dan menang. Ia bukan sesuatu yang mudah. Tetapi kami akan berusaha memberikan 100 peratus. Ia adalah perkara yang sama buat jurulatih di Barcelona."

Setien tidak pernah merangkul sebarang gelaran utama ketika beliau bergelar jurulatih tetapi terbit keterujaan dalam pendekatan permainannya yang bakal diterapkan di Nou Camp.

"Saya menjangkakan perkara yang sama, Barcelona akan sentiasa bersaing dengan mana-mana jurulatih sekalipun. Tiada apa yang berubah," kata Zidane.

"Mereka akan berusaha, sama juga dengan kami. Semuanya sama, perseteruan di antara kedua-dua sentiasa sama."

Real bakal menerima kunjungan Sevilla dan bekas pengendali, Julen Lopetegui, bagi aksi LaLiga di Santiago Bernabeu hari ini.



Editor: Ammar Hakim