Zinedine Zidane tidak was-was bahawa Sergio Ramos akan terus kekal di Real Madrid selepas pertahanan veteran itu mencapai satu lagi tahap apabila menyumbat gol ke-100 bersama kelabnya.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu meletakkan Madrid di depan dengan gol kedua ketika membenam kelab Itali itu 3-2 dalam pertembungan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Tandukan kencang Ramos itu muncul pada hari yang sama dia dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus, namun Zidane menegaskan bahawa kaptennya itu tidak akan ke mana-mana.

"Saya tidak ragu-ragu untuk mengatakan dia akan kekal," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Dia adalah pemimpin kami dan tentu saja kami mencintainya selama-lamanya."

Ramos menyertai Madrid daripada Sevilla pada 2005 dan membuat ke-penampilan 500 LaLiga dalam kemenangan 4-1 ke atas Huesca, hujung minggu lalu.

Dalam koleksi 100 golnya itu, 55 jaringan daripadanya terhasil melalui sondolan kepalanya, lantas ketua pasukan kebangsaan itu bangga dapat menggegar gawang Inter.



"Kami menyedarinya sebaik Samir Handanovic mendedahkan bahawa mereka telah mempelajari corak sepakan sudut kami yang menyaksikan hantaran Toni Kroos akan menemui saya," katanya kepada Movistar selepas perlawanan.

"Tetapi kami masih mampu mengejutkan musuh kami, malah menjadi semakin bagus. Mereka tahu apa yang mereka mahu lakukan, mereka mempunyai falsafah yang sangat jelas dan mereka memanfaatkannya.

"Ini satu keputusan yang baik untuk kejayaan tiga mata dalam saingan peringkat kumpulan yang mula kelihatan rumit bagi kami."

Ditanya mengenai pencapaiannya yang menghasilkan tiga angka dalam senarai penjaring Los Blancos, Ramos berkata: "Ia bukan sesuatu yang buruk malah bagus kerana ia diperakui.

"Tidak ramai pertahanan mampu melakukan pencapaian seperti ini. Mudah-mudahan akan ada banyak lagi gol yang menyusul."

Tandukan Ramos muncul lapan minit selepas Karim Benzema menghukum hantaran ke belakang Achraf Hakimi untuk membuka tirai jaringan di Estadio Alfredo Di Stefano itu.'

Inter bangkit dengan sentuhan pemusnah Lautaro Martinez dan Ivan Perisic sebelum Rodrygo memastikan kemenangan Madrid pada minit ke-80 selepas menyambut umpanan pemain gantian, Vinicius Junior.