Zidane samai rekod Del Bosque dalam senarai jurulatih Madrid paling banyak menang

Oleh Muzaffar Musa 19 Jun 2020 160
Zidane samai rekod Del Bosque dalam senarai jurulatih Madrid paling banyak menang
Zinedine Zidane meraikan kemenangannya yang ke-133 sebagai ketua jurulatih Real Madrid dan melonjak ke tangga kedua dalam senarai sepanjang zaman jurulatih paling banyak meraih kemenangan di kelab itu.

Zidane membimbing Madrid menewaskan Valencia -- yang beraksi dengan 10 pemain -- 3-0 hasil dua jaringan Karim Benzema dalam perlawanan LaLiga di ibu kota Sepanyol itu awal pagi tadi.

Ia merupakan tempoh kejurulatihan keduanya di Madrid sejak kembali ke pangkuan kelab itu pada Mac 2019 dan Zidane menjadi jurulatih di tangga kedua dengan rekod kemenangan terbanyak dalam sejarah kelab itu -- menyamai pencapaian Vicente del Bosque.

Miguel Munoz masih mendominasi senarai itu dengan 357 kemenangan, di mana dia membimbing skuad Los Blancos itu memenangi dua Piala Eropah dan sembilan gelaran LaLiga dari 1960 hingga 1972.
 
Zidane, yang menikmati kejayaan sebagai pemain Madrid dari 2001 hingga 2006, telah menjulang tiga trofi Liga Juara-Juara Eropah (2016, 2017 dan 2018) sepanjang bergelar jurulatih Madrid.

Pengendali berusia 47 tahun itu turut mengecap gelaran LaLiga (2017), Piala Super UEFA (2016 dan 2017) selain  kejuaraan Supercopa de Espana (2107 dan 2020) sepanjang mengisi jawatan itu.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen