Zinedine Zidane memuji fenomena yang dihasilkan Thibaut Courtois selepas Real Madrid semakin menghampiri gelaran LaLiga dengan menewaskan Deportivo Alaves 2-0 di Estadio Alfredo Di Stefano awal pagi tadi.

Madrid mengekalkan rekod tanpa bolos dalam lima perlawanan berturut-turut, sekali gus berkelebihan empat mata di depan pencabar terdekat, Barcelona, berbaki tiga perlawanan.

Zidane memuji Courtois, yang melakukan empat aksi menyelamat bagi membantu kemenangan Madrid dengan Karim Benzema menjaringkan sepakan penalti sebelum Marco Asensio turut menemui sasaran dalam babak kedua.

"Dia mempunyai pengaruh yang besar. Dia penjaga gol kami. Apa yang dilakukannya dalam setiap perlawanan adalah satu fenomena," kata ketua jurulatih Madrid itu kepada AS.

"Ia menjadi tanggungjawab semua orang apabila bertahan... hari ini, dia (Courtois) beraksi dengan amat baik untuk kami dengan dua atau tiga penyelamatan dan dia juga merupakan kekuatan buat seluruh pasukan ini.

"Kami perlu kekal seperti ini," katanya.

Madrid menjaringkan gol sepakan penalti dalam tiga perlawanan berturut-turut sementara video bantuan pegadil (VAR) diperlukan untuk mengesahkan gol Asensio selepas Benzema pada awalnya didapati ofsaid.

Dengan kemenangan tanpa bolos itu, Zidane gembira dengan prestasi pasukannya menjelang kunjungan ke Granada, Isnin ini.

"Saya tidak gusar kerana perkara paling penting adalah memenangi perlawanan.

"Kami tidak menjaringkan empat atau lima gol tetapi ia kerana mereka lawan yang lebih bertahan.

"Kami menjaringkan dua gol dan salah-satunya sangat cantik.

"Saya amat gembira dan tenang dengan apa yang sedang kami lakukan," tambahnya.