Ketua jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane, berkata dia gembira apabila Karem Benzema mengatasi rekod Ferec Puskas dalam kedudukan senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu.

Benzema menjaringkan dua gol ketika membantu Madrid menewaskan Valencia -- yang bermain dengan 10 pemain -- 3-0 dalam perlawanan LaLiga di Stadium Alfredo Di Stefano awal pagi tadi.

Selepas menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-61, Benzema menamatkan perlawanan itu dengan bergaya pada empat minit terakhir -- menyumbat masuk bola menerusi sepakan voli yang menewaskan penjaga gol Valencia, Jasper Cillessen, selepas Marco Asensio turut menemui sasaran pada minit ke-74.

Dua gol Benzema di ibu kota Sepanyol itu menyaksikan dia merekodkan 243 gol buat Madrid dalam kesemua kejohanan, mengatasi pemain legenda, Puskas (242) untuk merampas kedudukan kelima.

"Ia jaringan yang hebat, untuk gerakan itu dan penyudahnya -- saya gembira dengan gol Karim," kata Zidane selepas Madrid kembali merapatkan jurang kepada dua mata dengan pendahulu LaLiga, Barcelona.

Ia juga perlawanan yang akan diingati buat Asensio, yang menamatkan penantiannya untuk kembali beraksi dengan menjaringkan gol menerusi sentuhan pertamanya ke atas Valencia.

Asensio mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) Julai lalu dan kembali menjejak padang sebagai pemain gantian pada minit ke-74 awal pagi tadi -- di mana pemain kebangsaan Sepanyol itu lantas memberikan impak.

"Ia amat bermakna buatnya, kami gembira dia dapat kembali ke lapangan," tambah Zidane.

"Selepas sekian lama tidak beraksi, untuk menjaringkan gol seperti itu dengan sentuhan pertamanya, ia benar-benar membuatkan saya gembira.

"Dia sudahpun gembira kerana dapat beraksi dan kemudian, dia mampu untuk segera menjaringkan gol, di mana ia menunjukkan bahawa dia sudah bersedia," katanya.

Eden Hazard turut mencuri tumpuan.

Bintang Belgium itu bergandingan dengan Luka Modric ketika membantu Benzema membuka jaringan perlawanan itu.

Kempen pertama Hazard di Madrid dibelenggu dengan masalah kecederaan dan kecergasan tetapi bekas penyerang Chelsea itu membuktikan mengapa Madrid sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan dirinya yang sudahpun berusia 29 tahun.

Zidane berkata: "Ia adalah perlawanan yang amat baik buat Hazard. Secara fizikal, dia kelihatan baik dan dapat beraksi selama 80 minit.

"Adakalanya anda akan melihat seperti dia sudah letih tetapi dia kemudian mengambil bola dan melarikan diri."