Zidane puas hati peningkatan Real Madrid

Oleh Penulis Jemputan 18 Oktober 2017 2465
Zidane puas hati peningkatan Real Madrid
REAL MADRID 1 TOTTENHAM 1

Zinedine Zidane berasakan Real Madrid terpaksa membayar harga yang mahal kerana gagal menjaringkan gol pendahuluan dalam aksi di Santiago Bernabeu apabila diikat seri 1-1 dengan Tottenham Hotspur, awal pagi tadi. 


Selepas hampir memecah kebuntuan apabila percubaan Cristiano Ronaldo terkena tiang pada awal saingan, tuan rumah ketinggalan pada minit ke-28 selepas pemain pertahanan, Raphael Varane, tertampan bola ke dalam gawang sendiri selepas diasak Harry Kane.

Juara bertahan itu kemudian menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Ronaldo, namun  mereka gagal mengatasi ketangkasan Hugo Lloris pada babak kedua. 

Penjaga gol Spurs itu menafikan percubaan menarik Ronaldo dan Karim Benzema yang berusaha meletakkan Madrid di hadapan dalam pertembungan dua pasukan pilihan dalam Kumpulan H itu -- yang turut dihuni Borussia Dortmund dan APOEL.  

"Kami tidak gembira kerana kami beraksi di tempat sendiri dan kami sentiasa mahukan kemenangan, namun kami memiliki beberapa peluang," kata Zidane kepada Antena 3. 

"Kedua-dua pasukan memiliki penjaga gol yang cekap dan percubaan kami juga terkena tiang. Mereka bertahan dengan baik dan keputusan perlawanan ini adalah logik. 

"Masalahnya adalah mendapatkan gol awal. Jika kami berjaya melakukannya, maka ia bagus tetapi apabila kami dibolosi, ia memberi ruang buat mereka lebih bertahan. Mereka tahu bagaimana untuk melakukannya. 

"Kami meraih keputusan seri kali ini dan akan cuba menang di Wembley. Kedua-dua pasukan mengumpul tujuh mata dan kita akan lihat bagaimana kesudahannya lain kali. Kami semakin berkembang berikutan tidak memulakan kempen liga dengan baik."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen