Zinedine Zidane tidak dapat membendung kekecewaannya apabila perlawanan LaLiga yang melibatkan Real Madrid di Osasuna tidak ditunda disebalik terkesan dengan Ribut Filomena.

Skuad Los Blancos itu terikat tanpa jaringan di El Sadar dengan Madrid gagal merekodkan sebarang percubaan tepat dalam babak pertama.

Perlawanan itu berlangsung dalam keadaan yang cukup sukar di mana salji sentiasa turun dan melitupi permukaan padang.

Persiapan Madrid bagi perlawanan itu jelas bukan sesuatu yang ideal apabila mereka terperangkap dalam pesawat selama dua jam Jumaat lalu selepas salji yang melitupi landasan pesawat itu membuatkan penerbangan mereka terpaksa ditunda.

Ketua jurulatih, Zidane, yang tidak tahu bila pasukannya dapat pulang ke Madrid selepas bandar berkenaan turut dilanda ribut, terkejut apabila perlawanan itu tetap diteruskan dalam cuaca sedemikian.

"Kami telah melakukan apa yang kami boleh lakukan di atas padang tetapi ia bukanlah perlawanan bola sepak.

"Keadaannya mat sukar. Segala yang berlaku sepanjang dua hari ini amat rumit.

"Kami tidak tahu bila kami dapat pulang ke Madrid dan sejujurnya, kami hanya akan melihat bagaimana ia akan dihadapi.

"Amat jelas perlawanan menentang Osasuna ini sepatutnya ditunda. Amat jelas.

"Keadaannya tidak sesuai untuk bermain bola sepak, yang pada akhirnya, ia adalah sesuatu yang semua orang mahukan, termasuk kami, pasukan lawan dan semua orang," katanya.

Zidane enggan berkata bahawa keputusan LaLiga itu telah menjejaskan pasukannya dengan menambah: "Saya tidak mahu terlibat dengan perkara seperti itu.

"Kami telah melakukan apa yang mereka arahkan kepada kami, kami telah bermain dan itulah ia.

"Kami perlu memikirkan mengenai pemulihan walaupun kami tidak tahu jika kami dapat pulang ke Madrid esok atau kami akan pulang pada Isnin.

"Dan pada Rabu depan, kami mempunyai satu perlawanan lain," katanya lagi.