REAL MADRID 1 REAL VALLADOLID 1

Zinedine Zidane menggesa penyokong Real Madrid terus memberikan kepercayaan kepada pasukan bimbingannya yang berada di bawah tekanan ekoran aksi hambar musim lalu.


Real beraksi buat pertama kali di laman sendiri bagi musim 2019-20 semalam tetapi terpaksa berkongsi mata apabila seri 1-1 dengan Real Valladolid.

Karim Benzema menjaringkan gol pada minit ke-82 sebelum Sergi Guardiola menemui jalan untuk meledak gol penyamaan bagi memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.

Segalanya belum berjalan lancar buat Real – atau Zidane – sejak beberapa bulan lalu, termasuk isu melibatkan Gareth Bale dan aksi hambar dalam perlawanan persahabatan pramusim.



Selepas menamatkan musim lalu ketinggalan 19 mata kepada Barcelona, Zidane mengetahui tekanan sekali lagi meningkat musim ini dan dia merayu kepada penyokong untuk terus menyokong Real.

"Saya perasan di Bernabeu -- penonton yang hadir turut berasakan tekanan tersebut.

"Kehadiran mereka membantu kami. Saya berharap sokongan yang diberikan kepada pasukan mampu menjadi kelebihan untuk meraih kejayaan musim ini."

Aksi liga seterusnya buat Real dijadualkan 1 September ini apabila berkunjung untuk berdepan Villarreal.