Cristiano Ronaldo berkata pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, memiliki 'tarikan istimewa' serta menjadi faktor utama bintang Portugal itu menandatangani kontrak baru selama lima tahun bersama juara Eropah itu.

Pemenang Ballon d'Or tiga kali itu menandatangani kontrak baru pada Isnin untuk kekal di Santiago Bernabeu, yang menyaksikan Ronaldo akan beraksi sehingga 2021.

Kehadiran Zidane dilihat sebagai faktor utama Ronaldo kekal bersama Real, selepas pemain kebangsaan Portugal itu dikaitkan dengan penghijrahan selepas permulaan musim yang hambar ketika Rafael Benitez mengambil alih pada musim lalu.

Pelantikan bekas pemain tengah Real dan Perancis itu sebagai ketua jurulatih mencetus kebangkitan serta kejayaan yang diakhiri dengan sepakan penalti Ronaldo untuk menewaskan Atletico dalam aksi final Liga Juara-Juara.

"Beliau merupakan pemain di dalam sejarah Real Madrid dan kini merupakan pengurus pasukan," ujar Ronaldo kepada Real Madrid TV.

"Saya mengaguminya sebagai seorang pemain serta sebagai seorang jurulatih. Beliau memberikan satu tarikan istimewa kepada saya.

"Ia merupakan tahun pertamanya dan memenangi Liga Juara-Juara merupakan sesuatu yang amat menakjubkan, ia bagaikan mimpi menjadi kenyataan."

Kejayaan Ronaldo pada musim 2015/16, disusuli kejayaan merangkul Euro 2016 bersama Portugal -- kali pertama mereka memenangai kejohanan utama di peringkat antarabangsa.

"Liga Juara-Juara, Euro 2016, dan pembaharuan kontrak bersama Real, ini merupakan tahun yang sempurna buat saya.

"Saya mahu terus mencipta kemenangan -- La Liga, Liga Juara-Juara, Piala Dunia Kelab. Saya mahu menenangi piala dan terus melakukannya bersama Real."