REAL MADRID 3 REAL SOCIEDAD​ 1

Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, meminta penyokong agar berhenti mengejek Gareth Bale sewaktu bintang Wales itu kembali beraksi dalam saingan LaLiga awal pagi tadi.


Bale masuk dalam babak kedua sewaktu menewaskan Real Sociedad 3-1 di Santiago Bernabeu dan menerima layanan buruk daripada beberapa bahagian penonton.

Walaupun sesetengah peminat bertepuk untuknya, dia menjadi sasaran ejekan setiap kali memegang bola tatkala kemenangan Real itu membolehkan mereka berkongsi mata dengan pendahulu, Barcelona.

Ia merupakan penampilan pertama Bale buat Los Blancos sejak bulan lalu dan minggu lalu, dia mengundang kemarahan peminat dan media di Madrid selepas meraikan kejayaan Wales mara ke Euro 2020 dengan memegang sepanduk bertulis: 'WALES. GOLF. MADRID...DALAM TURUTAN INI'.

Slogan yang diambil daripada peminat Wales itu dilihat sebagai satu sindiran terhadap pandangan media di Sepanyol mengenai Bale yang mengkritik bekas pemain Tottenham Hotspur itu tidak menjadikan Real sebagai keutamaan.

Zidane, yang teruja dengan persembahan dipamerkan Bale, menerima hakikat dia tidak dapat mengawal reaksi peminat tetapi meminta agar pemain itu diberi sokongan sepanjang musim 2019-20.

"Saya harap ia tidak berterusan dalam musim ini. Kami mahu peminat bersama pasukan dari awal tetapi kami tidak boleh kawalnya," katanya.

"Peminat berhak melakukan apa yang mereka mahu tetapi saya bertanya apabila mereka bertepuk tangan untuk semua orang. Saya fokus dengan permainan dan kemenangan sambil Bale masuk dengan sangat bagus.

"Saya belum bercakap dengannya tetapi hanya mengucapkan tahniah.

"Saya tidak boleh katakan ia adil atau tidak. Semua orang boleh cakap apa yang mereka mahu. Kami perlukan peminat. Selepas itu, kami tidak mampu mengawal apa yang berlaku.

"Terlalu banyak ejekan buat Bale. Dia mahu bersama kami dan benar-benar inginkannya. Sebab itu kami tidak mahu bercakap terlalu banyak. Dia sebahagian daripada kumpulan pemain dan mahu beraksi seperti orang lain."

Real ketinggalan apabila Willian Jose membuka tirai jaringan selepas dua minit permainan susulan kesilapan daripada kapten, Sergio Ramos, tetapi mereka bangkit menerusi gol Karim Benzema, Federico Valverde dan Luka Modric.

"Saya gembira. Kami tidak bermula dengan baik, sangat perlahan. Kemudian, penghujung babak pertama sangat bagus, begitu juga dengan permulaan separuh masa kedua," tambah Zidane.

"Kami gembira kerana berdepan pasukan yang sangat bagus. Kami gembira dengan tiga mata."