Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, menyifatkan pasukannya masih lagi dahaga untuk menjuarai lebih banyak piala selepas meraih kejayaan Piala Super UEFA dengan menewaskan Manchester United.

Casemiro dan Isco menemui sasaran bagi membantu juara LaLiga dan Liga Juara-Juara (UCL) itu untuk menewaskan juara bertahan Liga Europa (UEL), United, 2-1 di Skopje, awal pagi tadi.

Casemiro membuka jaringan pada minit ke-24 dan Isco menggandakan jaringan tujuh minit selepas perlawanan bersambung sebelum Romelu Lukaku mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-60.

Kemenangan ini menyaksikan Real meraih trofi Piala Super yang ketiga sejak 2014.

"Kami mengetahui pasukan kami memiliki ramai pemain berbakat dan kerja keras membantu anda meraih kejayaan," kata Zidane.

"Kami sentiasa dahagakan kejayaan, malah mahu teruskan momentum ini.

"Ia merupakan persembahan yang hampir sempurna. Kami bermain baik dalam separuh masa pertama, kemudian bergelut di penghujung separuh masa kedua. Jika kami menjaringkan gol ketiga, keputusan mutlak memihak kepada kami.

"Kemenangan ini disambut meriah dalam bilik persalinan, itu merupakan perkara biasa kerana kami tidak pernah penat dengan kemenangan. Kami cuba memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini."