Zidane mahu Bale kekal sepanjang musim

Oleh Penulis Jemputan 6 November 2019 142
Zidane mahu Bale kekal sepanjang musim
Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, mahu Gareth Bale kekal bersama pasukan itu sekurang-kurangnya sepanjang musim ini.

Bale dikaitkan dengan perpindahan ke Jiangsu Suning ketika musim rehat lalu tetapi urusan itu gagal dilaksanakan dan dia kekal di Santiago Bernabeu.

Laporan minggu ini mendedahkan Real akan menawarkan Manchester City GBP70 juta (RM372 juta) serta pemain berusia 30 tahun itu bagi mendapatkan khidmat Raheem Sterling.

Namun, Zidane tidak meragui bahawa Bale memiliki peranan penting buat Real melangkaui jendela perpindahan Januari depan.

"Saya mahu Bale kekal di sini sehingga penghujung musim ini," ujar Zidane ketika sidang media menjelang aksi Liga Juara-Juara Eropah menentang Galatasaray di laman sendiri.

"Orang ramai sentiasa berkata saya mahu Bale meninggalkan pasukan pada Januari depan. Ia tidak masuk akal. Peminat kami perlu berfikir secara positif dan pemain mahu kekal bersama kami.

"Dia telah kembali ke sini dan mahu pulih tetapi masih belum menyelesaikannya."

Bale tidak beraksi buat Los Blancos selama sebulan susulan kecederaan yang dialami ketika Wales seri 1-1 dengan Croatia, 13 Oktober lalu.

Bagaimanapun, dia dinamakan dalam senarai skuad Wales untuk aksi kelayakan Euro 2020 menentang Azerbaijan dan Hungary sambil pengurus, Ryan Giggs, mendakwa pemain sayap itu meyakinkannya dia akan bersedia untuk beraksi.

"Dia tidak berlatih secara normal, jadi kami memantaunya setiap hari. Pasukan negaranya mempunyai hak untuk menyenaraikannya, ia kalendar FIFA, jadi kami tidak boleh berbuat apa-apa. Namun, apa yang dimahukan ialah pemain ini cergas dan bersedia," tambah Zidane.

"Dia telah kembali menyertai latihan minggu lalu dan kami akan lihat sama ada dia bersedia untuk mewakili pasukan kebangsaannya. Namun, apa yang memalukan kami ketika ini adalah dia tidak bersedia bermain untuk kami."

Zidane juga menafikan dia memiliki hubungan tegang dengan Bale apabila menambah: "Kami mengucapkan selamat pagi antara satu sama lain setiap hari.

"Saya sayangkan pemain saya. Kami tidak boleh mempunyai hubungan rapat dengan semua orang tetapi saya tidak pernah berdepan masalah dengan Bale walaupun wujud perbincangan untuk dia berpindah. Saya gembira dengannya.

"Media perlu menghentikan daripada berkata perkara sama atau bertanya saya mengenai dia meninggalkan perlawanan lebih awal kerana saya juga pernah melakukannya.

"Apa yang penting adalah dia bersama pasukan sebelum perlawanan dan ketika rehat, dia memberi sokongan.

"Anda mencari perkara yang tidak wujud. Dia mahu melihat pasukan meraih kemenangan, saya tidak meragui tentangnya."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen