GIRONA 2 REAL MADRID 1

Zinedine Zidane menegaskan Real Madrid masih boleh memenangi La Liga meskipun ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Barcelona, selepas dikejutkan Girona 2-1 di Stadium Montilivi, awal pagi tadi.


Penyandang juara itu mengalami kekalahan kedua dalam liga sementara tuan rumah menjadi pendatang baru pertama mengalahkan skuad Los Blancos dalam tempoh 27 tahun.

Isco meletakkan Madrid di depan pada minit ke-12 tetapi dua gol dalam masa empat minit pada babak kedua membawa pelawat kekal berada di tangga ketiga.

Jurulatih kelahiran Perancis itu mempertahankan aksi lemah pasukannya dan menyuarakan kepercayaan bahawa persaingan merebut gelaran masih jauh.

"Kami tahu kami dapat mengubah keadaan ini. Kami akan mempunyai hari yang lebih baik dan pasukan lain juga akan keciciran mata sepanjang musim ini," kata Zidane dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Kami tidak jangka kehilangan tiga mata, (tetapi) kami mahu memenangi LaLiga.

"Saya tidak bersetuju mengatakan kami bermain dengan teruk. Semua pemain melakukan usaha. Saya tidak senang untuk itu, ia hanya perincian (yang menyebabkan Madrid tewas).

"Kami akan pulang, berehat dan bersedia untuk aksi pada Khamis. Pemain masih bermotivasi untuk LaLiga," tambahnya.

Tamparan berganda buat Madrid apabila Raphael Varane berada dalam keraguan untuk pertembungan menentang Tottenham dalam Liga Juara-Juara selepas dipaksa berehat pada separuh masa pertama.

"Varane mempunyai masalah kecil dengan pangkal paha, itu yang saya diberitahu," kata Zidane.

"Kami perlu (tunggu sehingga) esok (untuk perkembangan lanjut)."