Zidane khuatir kecederaan Hazard 

Oleh Staff Writer 27 November 2019 504
 Zidane khuatir kecederaan Hazard 
REAL MADRID 2 PSG 2

Zinedine Zidane mengakui gusar dengan kecederaan buku lali yang dideritai Eden Hazard ketika Real Madrid seri 2-2 dengan Paris Saint-Germain (PSG).


Hazard digantikan dalam separuh masa kedua perlawanan di Santiago Bernabeu itu yang menyaksikan Madrid melepaskan pendahuluan 2-0 dalam perhitungan Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi. 

Zidane, yang pasukannya mengesahkan tempat kedua dalam Kumpulan A berkenaan, mengambil berat tentang kecederaan anak buahnya itu.

"Ya, ia membimbangkan," kata pengurus Madrid tersebut kepada Movistar.

Dalam sidang akhbarnya, Zidane menambah: "Ia satu tamparan hebat tetapi saya harap ia tidak seburuk itu. Saya tidak dapat mengulas lanjut mengenainya ketika ini.

"Mereka sedang melakukan ujian dan kita akan lihat perkembangannya kelak."

Jaringan berganda daripada Karim Benzema meletakkan Madrid di landasan kemenangan ketika permainan berbaki 11 minit.

Bagaimanapun, Kylian Mbappe dan Pablo Sarabia menemui sentuhan penyudah dalam tempoh dua minit (minit ke-81 dan 83) untuk PSG mencuri satu mata. 

Walaupun tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Zidane berasa senang dengan prestasi pasukannya.

"Ia satu perlawanan yang hebat buat pasukan, kami terus berkembang, anda perlu gembira dengan permainan ini," katanya.

"Bagaimanapun, kami tidak boleh bergembira dengan keputusannya tetapi tiada apa yang berlaku. Anda seharusnya perlu gembira dengan apa yang kami lakukan sepanjang 80 atau 85 minit permainan."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen