Kemungkinan untuk Zinedine Zidane bergelar pengurus Bayern Munich hanyalah satu khabar angin, kata pemain tengah, Thiago Alcantara.

Tekanan kian memuncak buat pengurus, Niko Kovac, selepas Bayern gagal mencatat kemenangan dalam empat aksi terakhir dalam setiap kejohanan.

Juara liga itu kini menduduki tangga keenam Bundesliga selepas tujuh perlawanan, empat mata di belakang pendahulu, Borussia Dortmund, dan mereka ditewaskan 3-0 oleh Borussia Monchengladbach di laman sendiri, Sabtu lalu.

Zidane, yang kini bebas tanpa majikan selepas meletakkan jawatan selaku pengendali Real Madrid setelah menjulang tiga trofi Liga Juara-Juara Eropah berturut-turut, dikatakan bakal menggantikan Kovac.

Bintang Sepanyol, Thiago, menafikan laporan itu dan memberitahu Cedena Ser: "Ia hanya satu khabar angin. Satu spekulasi.

"Terdapat ramai pemain veteran dalam skuad Bayern dan kami tahu bagaimana untuk mengendalikan situasi ini.

"Kami cuba untuk bekerja bagi mengubah situasi dan mara ke depan.

"Kami harus bekerja keras dengan apa yang kami miliki ketika ini. Menimbulkan spekulasi mengenai masa akan datang tidak akan memberikan apa-apa."

Thiago mengakui pasukannya memulakan musim dengan cemerlang selepas Kovac menggantikan tempat Jupp Heynckes tetapi dia tetap menerima bahawa juara bertahan itu harus meningkatkan prestasi menjelang aksi berdepan Wolfsburg, 20 Oktober ini.

"Kami memulakan musim dengan baik, memenangi tujuh perlawanan awal," katanya.

"Selepas aksi antarabangsa September lalu, kami kembali dan skuad tampak penat.

"Kami cuba mendapatkan keputusan tetapi dibolosi selepas 10 minit. Ia seperti satu mimpi ngeri dan segalanya terus menjadi buruk.

"Sejak itu, kami berada dalam situasi memulihkan diri. Kami perlu bertenang untuk kembali ke prestasi terbaik. Kemudian, hanya dua minggu akan berlalu.

"Di Bayern, terdapat satu tradisi hebat di mana kami bersatu dengan keluarga selepas perlawanan di dalam bilik dan meraikan kemenangan. Sebab itu ia amat menyakitkan apabila tewas.

"Kami mahu memulihkan perasaan itu, bukan hanya untuk pemain tetapi buat penyokong dan keluarga. Di atas padang, kami adalah haiwan yang berjuang dan inginkan kemenangan."