Real Madrid mungkin hanya memerlukan satu mata dalam pertemuan Liga Juara-Juara dengan Sporting CP untuk menjamin kemaraan ke peringkat ke-16 terakhir, namun Zinedine Zidane tidak bercadang untuk sekadar meraih keputusan seri.

Selepas empat perlawanan Kumpulan F, penyandang juara Eropah itu menduduki tangga kedua dan dipisahkan lima mata di belakang Borussia Dortmund untuk aksi awal pagi esok.

Masih segar dengan kejayaan membenam musuh setempat, Atletico Madrid, dalam saingan LaLiga sementara pertembungan dengan Barcelona semakin hampir, timbul keberangkalian bahawa Real Madrid hanya fokus untuk memastikan kemaraan.

Begitupun, Zidane mempunyai pandangan berbeza apabila menjangkakan untuk meninggalkan Portugal dengan tiga mata.

"Memenangi perlawanan ke atas Atletico tidak membawa apa-apa erti esok. Kami perlu bermula dengan baik dan jika kami berbuat demikian, kami akan mencapai sesuatu," katanya dalam sidang media menjelang perlawanan itu.

"Saya menjangkakan situasi sukar esok.

"Saya tidak memikirkan tentang kedudukan pertama atau kedua. Saya hanya memikirkan pemain saya, kelab, pasukan dan melakukan segala-galanya untuk memenangi perlawanan, itu sahaja.

"Apa jua yang berlaku, kami akan memikirkan mengenai kelayakan selepas tamat perlawanan.

"Dan yang paling penting adalah apa yang kami akan lakukan esok, kami akan melakukan apa sahaja untuk menang.

"Saya tidak mempertimbangkan apa-apa, begitu juga dengan para pemain."

Zidane akan menentukan sebelum perlawanan sama ada Karim Benzema dan Sergio Ramos cergas untuk diturunkan, dengan kedua-dua pemain itu juga turut serta dalam kunjungan ke Lisbon.

Khidmat mereka boleh digunakan oleh Zidane untuk berdepan tugas getir itu, di mana pertemuan pertama di Santiago Bernabeu menyaksikan dua gol lewat Madrid memisahkan kedua-dua pasukan.

"Mereka tidak mengejutkan," tambah pengendali dari Perancis itu.

"Mereka bermain cukup baik (di Madrid), kami bersusah-payah untuk menang.

"Esok, kami akan mengharungi aksi serupa berdepan sebuah pasukan yang mahu mencetuskan masalah kepada kami.

"Mereka akan memberikan saingan hebat. Apabila pasukan lain berdepan Real Madrid, mereka akan menggandakan usaha mereka. Itu adalah normal, memang logik apabila anda menentang Real Madrid, anda akan bermain lebih baik.

"Kami berharap mereka tidak menampilkan permainan baik esok."