Zinedine Zidane gembira melihat aksi mengagumkan Eden Hazard ketika Real Madrid cemerlang sejurus LaLiga bersambung sambil memuji bintang Belgium itu dan gembira menempuhi beberapa rempuhan keras.

Hazard memulakan perlawanan di Stadium Alfredo Di Stefano awal pagi tadi itu yang menyaksikan Madrid menumpaskan Eibar 3-1 untuk kembali dua mata di belakang pendahulu, Barcelona.

Masalah kecederaan menghantui Hazard sepanjang musim pertamanya di kelab itu sejak perpindahan bernilai €100 juta (RM480.7j) daripada Chelsea, bahkan ada yang khuatir bahawa kempennya musim ini sudah berakhir apabila pergelangan kakinya patah Februari lalu.

Krisis COVID-19 menawarkan lebih banyak masa untuk pemulihan penyerang itu dan sentuhannya kelihatan tajam dalam babak awal termasuk umpanan kepada Sergio Ramos untuk gol kedua perlawanan sambil memainkan peranan penting dalam gol ketiga yang dicetak Marcelo.

Hazard kemudian dikasari beberapa kali sebelum digantikan sebaik perlawanan menginjak usia 61 minit, manakala pengurus, Zidane, menghidu beberapa masalah.

"Kami sedar sentuhan Eden berkarat untuknya beraksi dalam permainan penuh, Pada akhirnya, dia sempat beraksi selama sejam dengan menonjolkan persembahan yang baik," katanya.

"Mereka memberinya terjahan yang bagus dan mewujudkan ketakutan tetapi itulah bola sepak. Dia mengakui baik-baik sahaja ketika waktu rehat, dia gembira diterjah dan tidak gentar. Dia gembira dengan apa yang dilakukannya dan kami juga begitu."




Toni Kroos memecah kebuntuan pada minit keempat ketika Madrid menguasai babak pertama, tetapi mereka mula mengendurkan permainan selepas rehat lalu membenarkan Eibar menimbulkan ancaman yang menyaksikan Pedro Bigas menyambut tendangan Pablo De Blasis untuk gol sagu hati pelawat.

"Ini perkara yang sama sekali berbeza dengan apa yang kami alami sebelum ini. Kami perlu menyesuaikan diri," kata Zidane.

"Kami memulakan permainan dengan baik tetapi berdepan kesukaran dalam babak kedua. Saya tidak fikir ia adalah kerana berkaitan fizikal kerana kami sudah bersedia. Ia berkaitan segalanya.

"Saya sukakan babak pertama - ia aksi yang dominan. Ini adalah satu kemenangan penting.

"Mungkin aksi kami longgar dalam babak kedua. Ia tidak khususnya kepada satu sebab semata-mata. Kami harus membuat perubahan: Dani Carvajal terseliuh pergelangan kakinya, Ramos juga mengadu tidak selesa, Hazard pula kerana sudah lama tidak beraksi ... saya rasa bukan pertukaran yang membuatkan tempo permainan berubah. "

Kelibat Karim Benzema kelihatan sangat tajam ketika bergandingan di samping Hazard dalam babak pertama, ia menimbulkan persoalan sama ada penyerang itu sedang menjalani diet tertentu untuk kembali dalam keadaan kurus.

"Saya tidak tahu mengenai dietnya tetapi Karim menjaga dirinya sendiri seperti kebanyakan pemain yang lain," tambahnya.

"Dia gembira dapat beraksi semula. Saya harap dia terus begitu -- kami memerlukannya.

"Sangat seronok melihat mereka berkomunikasi dan saya sering membangkitkan mengenai gol kedua yang diilhamkan Eden kepada Ramos."