Zinedine Zidane mengakui dia mengharapkan aksi yang lebih baik daripada Cristiano Ronaldo selepas penyerang itu melepaskan deretan peluang menarik ketika Real Madrid membelasah Legia Warsaw 5-1 dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Madrid bermula goyah pada awal permainan di tempat sendiri, dengan Legia menjaringkan gol pertama mereka dalam Liga Juara-Juara selepas 21 tahun untuk merapatkan kedudukan kepada 2-1.

Anak buah Zidane, bagaimanapun, tidak berdepan masalah untuk menjinakkan lawan mereka menerusi gol sumbangan Gareth Bale, gol sendiri Tomasz Jodlowiec, Marco Asensio, Lucas Vazquez dan Alvaro Morata.

Begitupun, Ronaldo terlepas peluang untuk mencetak namanya sebagai penjaring apabila gagal menyudahkan peluang terhidang pada separuh masa kedua.

"Semua orang menjangkakan Ronaldo akan menjaringkan tiga, empat atau lima gol," kata Zidane kepada pemberita, "Dia terlepas banyak peluang, dia menjaringkan gol pada Sabtu lalu dan akan menjaringkan gol pada hujung minggu seterusnya.

"Kami semua menjangkakan aksi lebih baik daripada Cristiano dan dia sedar mengenai itu. Kami mahu dia menjaringkan tiga atau empat gol.

"Hari ini tiada gol daripadanya tapi dia melakukan dua gerakan bantuan gol dan saya juga gembira mengenainya."

Bercakap mengenai permainan keseluruhan, Zidane percaya pasukannya perlu memperbaiki corak bertahan mereka.

"Saya gembira dengan keputusan dan gol," tambahnya. "Sudah jelas kami boleh meningkatkan prestasi.

"Ada kalanya pertahanan kami tidak sempurna, namun pilihan kami adalah corak menyerang sungguhpun kami berdepan risiko dan memberi ruang kepada lawan untuk mencipta gerakan.

"Apa yang mustahak adalah menjaringkan gol dan memenangi perlawanan, itulah yang kami berjaya lakukan."