Zinadine Zidane berharap isu kontrak Sergio Ramos dan Lucas Vazquez di Real Madrid dapat segera diselesaikan.

Kontrak Ramos, 34, dan Vazquez, 29, akan tamat pada penghujung musim ini dan masa depan mereka masih menjadi persoalan.

Terdapat laporan mendakwa Ramos telah menolak kesepakatan baru selama setahun yang dikemukakan Madrid, pasukan yang diwakilinya sejak 2005.

Ditanya mengenai kemungkinan untuk Ramos dan Vazquez tidak memperbaharui kontrak mereka, Zidane berkata dalam sidang media: "Saya tidak mahu ia berlaku tetapi dalam bola sepak, anda tidak pernah tahu.

"Apa yang saya mahukan dan apa yang kami mahukan anda sudah tahu. Anda boleh bertanyakan sekali lagi dalam sidang media perlawanan lain tetapi saya akan memberitahu anda perkara yang sama. Apa yang saya harapkan adalah ia dapat diseselaikan, tidak lebih daripada itu," katanya.

Madrid akan berkunjung ke laman Osasuna bagi perlawanan LaLiga awal pagi esok di mana mereka akan mencuba untuk terus memberikan tekanan buat pendahulu liga, Atletico Madrid, yang berkelebihan dua mata dan dua perlawanan dalam tangan.

Masa depan Eden Hazard di Madrid terus menjadi tumpuan dengan kali terakhir pemain perancang itu diturunkan adalah pada November lalu.

Tetapi Zidane enggan mengambil risiko terhadap pemain berusia 30 tahun itu, yang bergelut dengan kecederaan sejak menyertai kelab itu.

"Dia masih bersama kami. Dia berlatih setiap masa, dan lebih daripada itu, saya tidak tahu.

"Kami akan melihat sama ada dia akan beraksi selama 90 minit dan melihat keadaan padang.

"Dan bagi perlawanan berikutnya, kami akan melihat perkara yang sama, sedikit demi sedikit," tambahnya.