Zidane hambur pujian terhadap Vazquez

Oleh Penulis Jemputan 30 Januari 2020 226
Zidane hambur pujian terhadap Vazquez
REAL ZARAGOZA 0 REAL MADRID 4

Zinedine Zidane mengisytiharkan Lucas Vazquez mempunyai 'seluruh kasih sayangnya' selepas pemain sayap itu mempamerkan persembahan memukau ketika Real Madrid menundukkan Real Zaragoza 4-0 awal pagi tadi. 

Pemain antarabangsa Sepanyol itu meledak gol kedua Madrid untuk menyusuli jaringan pembukaan Raphael Varane manakala jaringan Vinicius Junior dan Karim Benzema dalam babak kedua menghantar Los Blancos ke suku akhir Copa del Rey.

Vazquez jarang menyerlah bersama Madrid sehingga membangkitkan persoalan mengenai peranannya dalam pasukan itu tetapi Zidane kekal meminati kualiti yang dimiliki pemain berusia 28 tahun berkenaan.

"Perkara yang paling penting ialah apa yang saya fikirkan tentang dia. Dia mempunyai seluruh kasih sayang saya.

"Saya menaruh kepercayaan terhadap Lucas kerana dia seorang pemain yang akan memberikan segala-galanya di atas padang," kata pengurus dari Perancis itu. 

"Orang lain mempunyai pandangan mereka dan saya perlu menerimanya. Dia seorang pemain yang bakatnya dicungkil menerusi pasukan remaja kami dan apa yang orang ramai inginkan ialah melihat pemain memberikan segala-galanya di atas padang dan Lucas telah melakukannya."

Toni Kroos terus memperagakan aksi mantap di bahagian tengah Madrid apabila menyumbangkan bantuan untuk dua gol pertama dalam aksi di La Romareda itu. 

Zidane terpukau dengan persembahan pemain antarabangsa Jerman itu, namun lebih berminat untuk memuji usaha mereka secara sepasukan yang kini sedang menerajui LaLiga.

"Saya tumpang gembira dengannya. Toni merupakan contoh dan beraksi dengan sangat baik tetapi apa yang harus diserlahkan adalah hasil usaha seluruh pasukan," katanya.

"Pada akhirnya, adalah penting buat pengurus untuk melihat permainan sempurna daripada kumpulan pemain. Kami boleh membuat pertukaran pemain tetapi mereka semua telah mempamerkan usaha yang baik."



Editor: Shaiful Shamsudin 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen