Zidane gembira barisan wajah baru Real atasi Valencia

Oleh Staff Writer 9 Januari 2020 188
Zidane gembira barisan wajah baru Real atasi Valencia
Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, gembira dengan persembahan anak buahnya yang turun dengan percaturan baru selepas menewaskan Valencia 3-1 dalam saingan Piala Super Sepanyol awal pagi tadi.

Jaringan Toni Kroos, Isco dan Luka Modric mengesahkan kemenangan Los Blancos dalam aksi di Jeddah tatkala sepakan penalti Dani Parejo dalam waktu kecederaan menghadiahkan gol tunggal buat Valencia.

Tanpa Karim Benzema dan Gareth Bale serta dua pemain yang mengalami kecederaan panjang, Lucas Vazquez dan Marco Asensio, Zidane melakukan eksperimen dalam kesebelasan utama apabila tidak menurunkan pemain sayap dan menggunakan Isco dan Modric selaku barisan depan di bahagian tengah.

Percaturan itu membuahkan hasil apabila kedua-dua pemain itu menampilkan persembahan cemerlang hasil daripada bantuan Luka Jovic selaku penyerang utama di samping Kroos, Casemiro dan Federico Valverde di depan pertahanan.

Zidane berpendapat percaturan itu boleh digunakan lagi musim ini tatkala ia membolehkan bek kanan dan kiri menyerang menentang lawan yang mengamalkan corak bertahan.

"Kami meletakkan semua acuan untuk menang dan ia berhak diraih.

"Kami bekerja dengan baik. Ia menyentuh emosi apabila berjaya. Kami memiliki semua acuan untuk tampilkan permainan hebat. Itu yang kami lakukan menentang Valencia serta lawan lain yang sangat bagus.

"Kami meletakkan tekanan tinggi. Babak kedua lebih jelas dan saya gembira kerana tidak mudah menentang pasukan yang bagus dan tahu bermain dengan baik. Kami mampu teruja.

"Ia pilihan hari ini. Kami boleh bermain dengan sayap tetapi melakukan cara berbeza, lebih bertumpu di bahagian tengah sambil menggunakan bek tepi. Ia berfungsi.

"Kami bersiap sedia untuk perlawanan, memahami lawan dengan baik. Kami bersatu. Akhirnya, pemain yang akan beraksi sepenuh hati di atas padang."

Di pentas final, Los Blancos akan menentang pemenang dalam satu lagi separuh akhir di antara Barcelona dan Atletico Madrid, Ahad ini.



Editor: Nafis Abdullah

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen