Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, menegaskan dia tidak akan memaksa Luka Modric untuk segera pulih bagi mengukuhkan kembali bahagian tengah.

Modric mengalami kecederaan lutut ketika Madrid seri 2-2 dengan Borussia Dormtund dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah bulan lalu, namun pemain itu kini semakin pulih.

Ketua jurulatih Croatia, Ante Cacic, bercadang untuk memanggil bekas pemain Tottenham Hotspur itu pada bulan depan meskipun Modric kurang mendapat masa bermain.

Bagaimanapun, Zidane bertekad memastikan Modric tidak akan beraksi di peringkat kelab dan antarabangsa sehinggalah pasukan perubatan memberikan pelepasan.

"Saya tidak akan memberi komen terhadap kenyataan Cacic," kata Zidane dalam sidang media menjelang aksi berdepan Alaves pada Sabtu.

"Saya mendapat maklumat daripada pegawai perubatan dan Modric masih belum menyertai skuad utama.

"Dia masih dalam tempoh pemulihan. Kami tidak akan memaksa kepulangannya, kami perlu bersabar."

Madrid ketika ini mendahului saingan La Liga dengan kelebihan satu mata daripada Sevilla.