Zinedine Zidane menegaskan bahawa dia bukan seseorang yang istimewa (the special one) sambil berkata dia hanya bertuah kerana dapat mengendalikan Real Madrid.

Zidane membimbing Madrid menjulang trofi LaLiga musim ini, kejayaannya yang ke-11 selaku jurulatih pasukan gergasi Sepanyol itu.

Tetapi pengendali berbangsa Perancis itu menepis segala dakwaan bahawa dia 'the special one' -- gelaran yang digunakan oleh Jose Mourinho ke atas dirinya sendiri.

"Tidak, tidak. Saya tidak berasa seperti itu. Saya berasa bertuah untuk berada di sini bersama pemain saya setiap hari," katanya dalam sidang media.

"Dan berada di kelab ini telah membuatkan saya rasa bertuah dan ia adalah apa yang saya nikmati setiap hari.

"Kerana satu hari nanti, ia akan berakhir, sama seperti yang pernah berlaku sebelum ini tetapi kali ini adalah untuk selamanya.

"Kerana itulah saya hanya menikmatinya dan meletakkan fokus kepada perkara seperti itu," katanya.

Kejuaraan LaLiga itu merupakan yang pertama sejak Madrid, yang diketuai Cristiano Ronaldo, memenanginya dalam musim 2016-17.

Menjelang perlawanan liga terakhir menentang Leganes awal pagi esok, Zidane memberikan penghormatan buat kesemua pemainnya.

"Saya fikir setiap gelaran yang kami dapat adalah usaha seluruh pasukan, pemain yang terlibat pada ketika itu.

"Tidak perlu merendahkan mereka, terutama dengan gelaran ini, memandangkan ia merupakan gelaran yang paling rumit dan sukar.

"Kami berjuang sehingga ke akhirnya.

"Ia waktu untuk kami menikmati kejayaan ini tetapi demi bola sepak dan semua orang, kami masih ada perlawanan (menentang Leganes)," tambahnya.