Masa depan pengurus berbangsa Perancis itu di Santiago Bernabeu semakin dipersoalkan selepas hanya menang sekali dalam lima perlawanan.
Madrid telah memenangi separuh daripada 10 perlawanan LaLiga setakat ini untuk berada di kedudukan keempat sementara harapan mereka untuk layak ke pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) bergantung kepada perlawanan penentuan minggu depan.
Kekalahan mengejut 0-2 kepada Shakhtar Donetsk menyaksikan mereka di kedudukan ketiga Kumpulan B dan perlu mengatasi rintangan Borussia Monchengladbach untuk menjamin kemajuan.
Zidane mengemudi Los Blancos meraih tiga kejayaan UCL berturut-turut dalam penggal pertamanya sementara memenangi gelaran LaLiga musim lalu.
Dengan berita pengurus berusia 48 tahun itu berdepan pemecatan Presiden Madrid, Florentino Perez, Casillas percaya bekas rakan sepasukannya berkenaan telah membuktikan bahawa dia perlu terus diberi kepercayaan.
"Zizou seorang jurulatih yang menakjubkan, seorang kawan dan akan melakukan segala yang terdaya untuk meletakkan Madrid di kedudukan setinggi yang mampu," katanya kepada AS.
El mítico 1️⃣4️⃣
— Iker Casillas (@IkerCasillas) October 31, 2020
Felicidades @GUTY14HAZ
Qué talento leches! pic.twitter.com/G5KJGUj2Hk
"Anda tidak boleh hidup hanya bersandarkan kisah lampau tetapi dia sememangnya layak untuk diberikan kepercayaan."
Sergio Ramos merupakan antara dua tonggak yang bergelut dengan situasi di ibu kota Sepanyol itu memandangkan kontraknya bakal berakhir hujung musim ini.
Paris Saint-Germain (PSG) dilaporkan telah menawarkan kontrak lumayan kepada pertahanan kental itu, namun Casillas berharap ketua pasukan tersebut terus kekal.
"Sergio merupakan lambang Real Madrid dan tindakan yang terbaik adalah kekal di Madrid," katanya lagi.
Casillas, bekas penjaga gol terbilang Sepanyol, mengumumkan persaraannya pada Ogos lalu dan tidak beraksi sejak menerima serangan jantung ketika berlatih bersama Porto 1 Mei tahun lalu.
Dia, yang pernah memperkuatkan Los Galacticos dengan 725 penampilan, berkemungkinan kembali ke Madrid dengan menggalas peranan sebagai penasihat.