REAL MADRID 2 BORUSSIA DORTMUND 2

Zinedine Zidane meluahkan kemarahannya selepas Real Madrid gagal untuk muncul juara Kumpulan F, Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tetapi tidak berasa pasukannya mampu untuk melakukan lebih banyak lagi menentang Borussia Dortmund.


Pemain gantian, Marco Reus, menjaringkan gol penyamaan yang cukup dramatik dengan hanya dua minit masa perlawanan sebenar di Santiago Bernabeu akan tamat dan pasukan pelawat berjaya mengikat mereka 2-2 serta memperoleh mata yang diperlukan untuk memastikan mereka berada di tempat pertama.

Karim Benzema telah menjaringkan dua gol, memberikan harapan bahawa pasukannya mampu untuk mencatat kemenangan, tetapi jaringan Pierre-Emerick Aubameyang memberikan Dortmund harapan sebelum Reus mengikat pasukan tuan rumah.

Gol penyamaan itu terhasil selepas Madrid mempersiakan peluang terbaik untuk mengesahkan kemenangan -- Benzema dinafikan untuk melakukan jaringan hatrik apabila Reus mengeluarkan bola hasil tandukannya sementara peluang keemasan Cristiano Ronaldo terkena tiang gol.

Juara bertahan itu bakal bertemu dengan juara kumpulan dalam pusingan 16 terakhir, dengan Arsenal dan Juventus antara lawan yang mungkin menanti mereka.

"Apabila anda melihat peluang pada separuh masa kedua gagal disudahkan, ia menimbulkan sedikit kemarahan," kata Zidane kepada pemberita selepas perlawanan.

"Kami mengawal permainan tetapi dalam bola sepak, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Anda perlu mengawalnya sehingga tamat perlawanan.

"Kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol ketiga tetapi ia sudah berlalu. Kami tidak dapat melakukan apa-apa lagi. Saya akan melakukan analisis perlawanan dan kami akan melihat apa perkara yang perlu diubah.

"Perasaan saya bercampur-baur, perkara telah berlaku. Kami terlepas beberapa peluang untuk memastikan kemenangan tetapi kami mencatatkan keputusan seri dan akur duduk di tangga kedua kumpulan.

"Kami telah melakukan segalanya untuk memastikan berada di tangga pertama tetapi kami gagal. Saya sangat berbangga dengan pemain saya, mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara yang mereka lakukan.

"Sekarang kami perlu berehat. Separuh masa kedua menyaksikan kami kehilangan sedikit kekuatan tetapi kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol ketiga."

Dalam pada itu, Zidane mengucapkan tahniah kepada Dortmund untuk muncul selaku juara kumpulan dan berasakan mereka berhak selepas melalui kesemua enam perlawanan.

"Mereka adalah pasukan yang kuat dan membuat hidup pasukan lawan sukar. Pada akhirnya, kami perlu bekerja lebih sedikit daripada mereka tetapi kini semuanya telah berlalu.

"Mungkin ia adalah keputusan yang adil untuk mereka muncul juara dan kami di tangga kedua.

"Terdapat banyak peluang untuk menjaringkan gol ketiga. Sebaliknya, kami membiarkan Dortmund kembali menguasai perlawanan. Dortmund berhak berada di tangga pertama dan mereka menunjukkan kekuatan mereka yang sebenarnya.

"Kami telah melakukan segalanya untuk muncul juara kumpulan tetapi kami gagal. Kami mahukannya tetapi tiada apa lagi yang boleh dilakukan.

"Kami di tangga kedua, kita tunggu dan lihat sahaja nanti bagaimana keputusan undian."