Ketua jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane, memberikan pujian menggunung buat Karim Benzema selepas pemain itu menjaringkan dua gol ketika menewaskan Cadiz 3-0 awal pagi tadi untuk Los Blancos melonjak ketangga teratas LaLiga.

Pemain kebangsaan Perancis itu melebarkan rekod jaringannya dalam LaLiga musim ini kepada 21 gol dan hanya kekurangan dua gol berbanding pendahulu senarai penjaring terbanyak, Lionel Messi.

Benzema menyempurnakan jaringan penaltinya pada setengah jam permainan sebelum menyumbat masuk gol ketiga Madrid pada minit ke-40.

"Saya gembira dengan persembahannya," kata Zidane selepas perlawanan itu.

"Kami sedar betapa pentingnya dia dalam permainan kami dan ia bukan hanya disebabkan jaringannya.

"Dia membuatkan pemain di sekelilingnya bermain, kami seronok melihat dia bermain dan saya harap Real Madrid dapat terus menikmati permainannya untuk jangka panjang," katanya.

Kemenangan Madrid itu membolehkan mereka memintas Atletico dengan perbezaan jaringan sebelum pasukan Atleti itu berdepan Huesca awal pagi esok.

Zidane gembira melihat pasukannya berada di tangga teratas LaLiga dan layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

"Kami masih bernyawa dalam kedua-dua kejohanan dan akan meneruskannya.

"Kami mendapatkan tiga mata penting untuk memastikan kami kekal bersaing tetapi perjalanannya masih panjang," tambahnya.