REAL MADRID 2 SEVILLA 1

Zinedine Zidane percaya ia merupakan keputusan yang tepat membatalkan jaringan Luuk de Jong ketika Real Madrid meraih kemenangan 2-1 ke atas Sevilla semalam.


Real kini mendahului LaLiga selepas dua jaringan daripada Casemiro memastikan tiga mata diraih di Santiago Bernabeu di sebalik De Jong menjadikan kedudukan 1-1 dalam separuh masa kedua.

Penyerang itu hampir memberikan Sevilla kelebihan, namun tandukannya dibatalkan video bantuan pengadil (VAR), dengan pengadil perlawanan, Juan Martinez Munuera, kemudian menghukum Nemanja Gudelj kerana menghalang Eder Militao.

Jurulatih Sevilla, Julen Lopetegui, terkejut dengan keputusan tersebut dan pengarah bola sepak, Monchi, mendakwa beliau hampir mengeluarkan pemain-pemain selepas menyaksikan jaringan mereka dibatalkan buat kali kedua selepas VAR mengesahkan bola terkena tangan Munir El-Haddadi.

Zidane, bagaimanapun, berasakan keputusan itu telah mengubah perlawanan tersebut.

"Apa yang boleh saya katakan selepas melihat insiden tersebut adalah terdapat halangan, kemudian faul yang dilakukan. Pengadil perlawanan mengesahkannya menerusi VAR," katanya.

"Buat yang kedua, berlakunya bola terkena tangan tetapi pengadil tidak memberikan sebarang hukuman. Saya tidak pernah menilai perkara ini kerana ia adalah tugas pengadil untuk membuat keputusan.

"Kadang kala terdapat perkara yang memihak anda, kadang kala perkara sebaliknya berlaku. Ia adalah tugas yang sukar, segala keputusan bergantung kepada mereka."

Ditanya mengenai ulasan Monchi, Zidane membalas, "Saya berasakan mereka hanya melakukan tugas mereka."

Zidane memuji persembahan Casemiro, yang membuktikan dia mampu menjadi wira Real dengan dua jaringan yang dihasilkan buat kali pertama dalam kariernya bersama kelab itu.

"Bagus, kerana dia menjaringkan dua gol dan ia sesuatu yang luar daripada kebiasaan. Saya sangat gembira buat Casemiro dan kami mampu melakukan serangan dengan mana-mana pemain."



Editor: Ammar Hakim