Zinedine Zidane meluahkan rasa bangga terhadap anaknya, Enzo, yang berjaya melakar nama selaku penjaring untuk membantu Real Madrid membelasah Cultural Leonesa 6-1 dalam saingan Piala Raja Sepanyol.

Masih belum pasti sama ada Enzo akan mampu melakar kejayaan seperti ayahnya yang menjulang kejuaraan LaLiga dan Liga Juara-Juara Eropah ketika menghabiskan masa lima tahun di Santiago Bernabeu.

Namun, pemain berusia 21 tahun itu mempamerkan aksi mantap di laman sendiri apabila menjaringkan gol selepas 18 minit berada di atas padang.

"Saya cukup berbangga selaku pengendali dan ayah kepada Enzo," ujar Zidane.

"Kami mencapai objektif dengan kemenangan di samping memberikan peluang kepada pemain muda mencipta nama.

"Sebagai seorang ayah, saya sangat gembira dengan aksi Enzo. Malam ini nyata menggembirakan penonton yang hadir."

Sementara itu, penyerang, Mariano Meija, melakar hatrik dalam aksi sulungnya bersama skuad senior, dengan Zidane mengakui perlawanan tersebut merupakan medan ujian buat pemain itu.

"Pada awalnya, saya hanya mahu dia mengutip pengalaman berharga. Ketika hujung musim lalu, saya memintanya kekal bersama kami.

"Untuk itu, Mariano masih kekal bersama kami.

"Saya juga tidak tahu apa yang akan berlaku kepada Odegaard. Pada usia 17 tahun, dia telah menampakkan kematangan. Dia beraksi dengan cukup baik."

Pada masa sama, pemain tengah, Casemiro, telah beraksi selama 90 minit sebaik kembali daripada kecederaan kaki yang dialaminya pada pertengahan September lalu.

"Casemiro bermain dengan cukup mantap. Dia kini sudah bersedia untuk aksi berdepan Barcelona hujung minggu ini," tambah Zidane.