Gareth Bale disisihkan daripada skuad Real Madrid untuk menghadapi Manchester City dalam Liga Juara-Juara (UCL) kerana dia tidak mahu bermain, menurut Zinedine Zidane.

Semalam, Madrid menamakan barisan 24 orang untuk kunjungan ke Stadium Etihad termasuk ketua pasukan, Sergio Ramos -- walaupun pada hakikatnya dia tidak boleh diturunkan dalam pertemuan kedua itu kerana penggantungan -- namun tidak ada tempat buat Bale.

Pemain Wales itu menyumbang dua gol dalam perlawanan akhir ketika mereka membenam Liverpool 3-1 dua musim lalu, tetapi tidak akan memainkan peranan tatkala Madrid cuba mengatasi defisit 1-2 ketika menentang pasukan kendalian Pep Guardiola tersebut dalam pusingan 16 UCL awal pagi esok.

Sejak Februari lalu, Bale hanya sekali pernah dinamakan dalam kesebelasan utama -- penampilannya terhad selama 110 minit sejak Madrid menyambung baki kempen misim ini Jun lalu -- lantas Zidane menjelaskan bahawa ia adalah keputusan pemain berusia 31 tahun itu sendiri untuk tidak terlibat di Manchester.

"Saya akan menjelaskannya kerana banyak perkara diperkatakan," kata Zidane kepada wartawan dalam sidang akhbar.

"Kami saling menghormati di antara pemain dan jurulatih, itu jelas. Satu-satunya perkara yang boleh saya katakan, dia telah memutuskan untuk tidak beraksi dan selebihnya adalah di antara dia dan saya."



Zidane semakin kecewa apabila soalan mengenai Bale, yang nampaknya tidak mempunyai masa depan di Madrid tetapi masih dalam kontrak hingga 2022, terus dibangkitkan.

"Saya telah menjawab mengenai situasi ini. Selebihnya adalah perbualan di antara pemain dan jurulatih jadi saya tidak akan memberitahu anda apa-apa," tambahnya.

Bekas pemain tengah Perancis itu, bagaimanapun, terus diasak mengenai penyerang berkenaan-- mengenai masa depannya bersama Los Blancos -- yang sudah terang lagi bersuluh.

"Gareth Bale adalah pemain Real Madrid, tidak ada yang berubah. Saya menghormatinya," jawab Zidane.

"Dia telah memutuskan untuk tidak beraksi. Kami semua fokus kepada perlawanan esok."

Eden Hazard antara sebahagian daripada skuad yang dibawa ke England walaupun dibelenggu masalah kecederaan dalam musim pertamanya di ibu negara Sepanyol itu.

Dia terlepas aksi sepanjang November hingga Februari lalu akibat masalah pergelangan kaki disusuli tulang pergelangan kakinya patah selain mengadu tidak selesa menuju aksi penghujung LaLiga yang padat, namun Zidane teruja dengan situasinya sejak itu.

"Dia mengadu tidak begitu selesa sebelum penutup LaLiga, tetapi saya berasakan keadaannya ketika inijauh bertambah baik, kami mempunyai masa untuk bersiap bagi perlawanan ini dan sekarang dia mula mempunyai keyakinan," tambah pengurus Madrid itu.

"Saya rasa ada kemunduran kecil setelah kecederaan kedua tetapi mudah-mudahan dia dapat beraksi. Semoga tiada apa yang boleh menyekatnya."