Zidane balas kritikan: Anda buat kerja anda, saya buat kerja saya!

Oleh Muzaffar Musa 22 November 2020 2227
Zidane balas kritikan: Anda buat kerja anda, saya buat kerja saya!
Zinedine Zidane dapat melihat sebab untuk terus optimis selepas Real Madrid diikat 1-1 oleh Villarreal dalam perlawanan LaLiga lewat malam tadi dan enggan melayan pengkritiknya.

Madrid kembali beraksi dalam LaLiga selepas waktu rehat antarabangsa tanpa dua tonggak utama, Sergio Ramos dan Karim Benzema.

Dalam misi memberikan respons selepas kekalahan 1-4 kepada Valencia dalam perlawanan terakhir, pasukan juara bertahan itu kelihatan berada di laluan tepat selepas Mariano Diaz -- yang berada dalam kesebelasan utama buat kali pertama sejak 18 bulan lalu -- menjaringkan gol seawal minit kedua.

Bagaimanapun, jaringan penalti Gerard Moreno selepas kekasaran yang dilakukan penjaga gol, Thibaut Courtois, mengekalkan Madrid di tangga keempat liga dengan ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Real Sociedad.

Kedua-dua gol itu terhasil daripada satu percubaan tepat yang dilakukan kedua-dua pasukan tetapi Villarreal melakukan 13 percubaan berbanding Madrid yang hanya menghasilkan enam.

Zidane, bagaimanapun, berasakan pasukannya lebih layak menang dalam perlawanan itu.

"Saya fikir kami sepatutnya memperoleh sesuatu yang lebih baik jika mengambil kira apa yang kami lakukan. Terutama dalam babak pertama. Kami keciciran dua mata.

"Saya kecewa dengan pemain kerana usaha yang telah mereka lakukan. Saya fikir kami sepatutnya memperoleh tiga mata hari ini dan ia amat memalukan," katanya.

Zidane turut menyedari tekanan sebelum perlawanan itu buat Madrid tetapi masih mempertahankan kepercayaannya biarpun memperoleh satu lagi keputusan yang tidak bagus.

"Saya akan terus memandang ke depan. Anda teruskan dengan apa yang anda lakukan dan biarkan saya dengan kerja saya," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen