Zinedine Zidane menyifatkan Toni Kroos sebagai pemain yang 'hebat', dan akan diingati apabila mengambil keputusan untuk bersara sebagai jurulatih.

Kroos menyertai Madrid dari Bayern Munich pada 2014 dan telah membantu Los Blancos memenangi dua gelaran LaLiga dan tiga Liga Juara-Juara (UCL).

Zidane telah melatih Kroos sejak 2016 dan pengendali Madrid itu tidak meragui pemain kebangsaan Jerman itu akan menjadi salah seorang pemain tengah terbaik dunia.

"Dia akan dikenang sebagai pemain hebat, salah seorang yang terbaik di dunia dalam posisinya," kata Zidane.

"Ketika saya tiba, anda boleh bayangkan, saya sangat gembira menjadi jurulatihnya.

"Benar, apabila saya bersara saya nanti dapat mengatakan bahawa saya telah melatih Cristiano [Ronaldo], [Gareth] Bale, [Luka] Modric, [Sergio] Ramos. Tetapi saya juga akan mengatakan bahawa saya melatih Toni Kroos.

"Sangat mengagumkan untuk melihat dia berlatih setiap hari. Betapa profesionalnya [dia]. Bercakap tentang dia seperti bercakap tentang seseorang yang luar biasa."

Kemahiran utama Kroos, menurut Zidane, adalah kesabaran dan ketenangannya, dan seorang pemain yang boleh dicontohi.

"Dia sangat berkualiti, boleh beraksi sebagai pemain nombor enam atau sepuluh," kata Zidane. "Setiap arahan yang diberikan telah diadaptasi dengan sebaik mungkin."