Zinedine Zidane akur dan mengakui bahawa keputusannya dalam waktu rehat telah mengundang padah buat Real Madrid sehingga terikat 1-1 dengan Real Sociedad dalam perlawanan LaLiga di laman sendiri awal pagi tadi.

Madrid merupakan pasukan yang lebih memberikan ancaman dalam babak pertama perlawanan di Estadio Alfredo Di Stefano itu dengan percubaan awal Mariano Diaz dari jarak dekat terkena palang.

Bagaimanapun, dengan tidak berpuas hati dengan prestasi pasukannya, Zidane mengubah taktikalnya selepas waktu rehat untuk hanya menggunakan tiga pemain pertahanan sebelum Portu menyelinap masuk dan menanduk masuk hantaran lintang Nacho Monreal bagi memberikan pendahuluan buat pelawat pada minit ke-55.

Zidane kemudian mengubah kembali pendekatannya dengan menggunakan empat pertahanan dan Madrid kembali mengikat kedudukan menerusi sentuhan pemain gantian, Vinicius Junior, pada minit ke-89.

Namun, ketua jurulatih berbangsa Perancis itu berasakan keputusannya untuk mengubah taktikalnya selepas separuh masa pertama telah memakan diri.

Bercakap kepada wartawan selepas perlawanan itu, Zidane berkata: "Saya mengubahnya (selepas separuh masa) kerana saya tidak gembira dengan cara kami memberikan tekanan.

"Ia berlaku selama 10-15 minit dan kami mengubahnya kembali kerana kami lebih bagus ketika bermain dengan formasi 4-3-3. Pemain gantian kami beraksi baik selepas dimasukkan."

Zidane kemudian ditanya lagi sama ada pilihannya itu merupakan satu kesilapan atau tidak, lalu dia menjawab: "Jika anda bertanya kepada saya dan ia sudah masuk kali ketiga, jadi ia mungkin benar.

"Kami perlu mengubah beberapa perkara kerana selepas sejam, kami kelihatan agak kepenatan. Adakalanya kami perlu mengubah beberapa perkara. Pada akhirnya, anda mencuba untuk mencari sesuatu bagi mengubah dinamiknya," katanya.

Madrid seterusnya akan berdepan seteru setempat, Atletico Madrid, dalam saingan LaLiga hujung minggu ini, di mana mereka ketika ini ketinggalan lima mata di belakang pendahulu liga itu, yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.