“Farizal Marlias itu pilihan tepat.”

Itu reaksi bekas kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abdul Radzak, yang melihat penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu memiliki keupayaan memimpin ketika di atas padang, sekali gus menggantikannya yang terpinggir daripada kem latihan kebangsaan kali ini.


Bagaimanapun, Zaquan tidak mahu melayan emosi walaupun namanya tercicir daripada perhatian pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe.

Walaupun mengakui dia tidak mampu mengelak rasa kecewa, namun Zaquan bertegas jika itu yang terbaik untuk skuad bola sepak negara, dia akur.

"Memang kecewa tetapi saya tidak boleh melihatnya sebagai sesuatu yang negatif. Sebelum ini apabila dipanggil, ia satu penghargaan besar buat saya," ujarnya.

Sudah pasti posisi selaku kapten negara menjadi persoalan selepas ketiadaan Zaquan dan bagi penyerang Kedah itu, Farizal adalah individu paling tepat bagi menggantikan kedudukannya.

"Farizal mungkin boleh galas tanggungjawab itu. Dia pemain senior dan memiliki pengalaman yang luas. Sesiapa sahaja boleh memegang tugas kapten tetapi tanggungjawab itu berat dan tidak mudah."

Ini merupakan kali pertama Zaquan terpinggir daripada sesi latihan skuad kebangsaan sejak kembali memperkuatkan Harimau Malaya dua tahun lalu.