"Perjuangan kami belum selesai.”

Itu tegas kapten Harimau Malaya, Zaquan Adha Abdul Radzak, di sebalik kecemerlangannya menyumbat dua gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Myanmar dalam saingan Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Skuad Harimau Malaya mengetepikan segala keraguan terhadap keupayaan mereka apabila mara ke separuh akhir kejohanan, menyaksikan kejayaan itu ditunjangi Zaquan yang kembali mengepalai jentera serangan negara selepas direhatkan dalam aksi bertemu Vietnam sebelum ini.

Namun, Zaquan enggan dibuai mimpi indah apabila mahu semua pemain kekal fokus bagi misi di peringkat kalah mati nanti.

"Saya rasa kami perlu lebih fokus dan memperbaiki kesilapan semalam. Sudah tentu kami akan berdepan lawan lebih kuat selepas ini, jadi kesilapan mudah akan diperbetulkan dalam sesi latihan," katanya.

Zaquan mencetuskan sensasi apabila salah satu gol yang dihasilkannya menggunakan muka yang juga gol ketiga peribadinya dalam kejohanan ini.

"Macam saya cakap, rezeki Allah tidak salah tempat dan waktu. Kepala atau lutut, bola tetap masuk. Apa orang nak komen, terpulang. Yang penting usaha.

"Saya tahu jika terus berusaha, benda baik akan diraih."

Tatkala Zaquan cemerlang menghasilkan gol, pasangan kembarnya, Aidil Zafuan Abdul Radzak, dinobat pemain terbaik perlawanan selepas mempamer aksi ampuh mengekang asakan lawan.

"Saya rasa secara peribadi, saya masih belum pamerkan aksi 100 peratus. Mungkin ada rakan-rakan lain yang lebih layak menerima anugerah itu tetapi rezeki dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Saya hanya melakukan tugas yang diberi oleh jurulatih selaku pemain senior," ujar Aidil.