Zappacosta idam kekal di Rom 

Oleh Shaiful Shamsudin 22 Mei 2020 36
Zappacosta idam kekal di Rom 
Davide Zappacosta "lebih selesa kekal" di Roma tatkala dia hampir kembali beraksi susulan kecederaan lutut yang serius.

Pertahanan itu bergabung dengan kelab Serie A berkenaan setelah dipinjamkan daripada Chelsea pada Ogos tahun lalu tetapi terlepas sebahagian besar kempen musim ini akibat ditimpa kecederaan di lutut kanannya ketika sesi latihan.

Setelah tempoh pemulihan yang panjang, Zappacosta berharap dapat terlibat semula untuk mengakhiri musimnya di Itali dengan menyatakan dirinya "90 peratus cergas".

Setelah hanya sempat beraksi selama 12 minit buat kelab itu setakat ini, bek tersebut teruja untuk memberi kesan besar demi meraih kontrak tetap di Kota Rom.

"Secara peribadi, saya ingin kekal di Roma atas beberapa sebab," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Yang pertama, saya ingin menunjukkan kepada peminat, rakan sepasukan dan pengurusan mengenai siapakah saya dan apa yang boleh saya lakukan.

"Saya telah bekerja keras, berlatih dan berkorban untuk kembali beraksi. 

"Saya melakukan beberapa sesi yang sepenuhnya dikhaskan untuk lutut kerana ia memerlukan masa untuk pulih dengan lebih baik daripada kecederaan ini. Tetapi sekarang saya berasa 90 peratus cergas."

Zappacosta terikat dengan Chelsea hingga Jun 2022 sebelum menyertai Roma.

Pemain antarabangsa Itali itu dipancing daripada Torino pada 2017 dan membantu The Blues memenangi Piala FA dalam musim sulungnya. Dia meneruskan rentaknya itu dengan menjulang Liga Europa ketika muncul pemain gantian terakhir dalam kemenangan 4-1 ke atas Arsenal.

"England dan Chelsea banyak memberi saya peluang," katanya. "Saya berpeluang beraksi dengan juara hebat dan memenangi dua trofi.

"Liga Perdana adalah saingan di mana semua orang tidak pernah berputus asa."

Kelab Serie A kembali menjalani latihan dengan harapan menyambung semula kancah itu bulan depan setelah terjejas angkara Covid-19.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen