Zanetti harap Martinez raih karier panjang di Inter

Oleh Nafis Abdullah 3 April 2020 35
Zanetti harap Martinez raih karier panjang di Inter
Lautaro Martinez adalah aset buat Inter Milan dan gembira bersama kelab Serie A itu walaupun dikaitkan dengan perpindahan keluar, kata naib presiden kelab, Javier Zanetti.

Martinez, 22, dilaporkan menjadi sasaran Barcelona dan Real Madrid selepas menyinar bersama Inter.

Bintang Argentina itu meledakkan 16 gol dalam 31 perlawanan bagi semua kejohanan musim ini.

Zanetti berkata Martinez gembira di San Siro selepas tiba daripada Racing Club menerusi perpindahan berjumlah EUR22.7 juta (RM107 juta) pada 2018.

"Saya gembira bercakap mengenai Martinez kerana apabila kami mendapatkan khidmatnya, kami telah memantaunya," kata bekas pertahanan Argentina itu.

"Dia merupakan salah seorang pemain paling berbakat dalam bola sepak Argentina. Diego Milito juga fikir dia mempunyai masa depan yang cerah.

"Kini, dia menjadi aset kami dan berkembang dengan baik. Saya melihatnya dalam sesi latihan setiap minggu. Dia gembira bersama kami dan saya harap Martinez kekal lama di sini."

Martinez telah membantu Inter menduduki tangga ketiga liga, sembilan mata di belakang pendahulu, Juventus, bagi saingan Serie A ketika musim ditangguhkan akibat wabak coronavirus.
 

Zanetti berharap kehidupan normal akan dapat kembali dijalani di Itali selepas dilanda teruk wabak itu, menyaksikan lebih 13,900 nyawa terkorban.

"Sukar untuk memikirkan tentang pemulihan sehingga kini. Sehingga 13 April, lebih baik duduk di rumah untuk membolehkan proses pemulihan ini berjalan lancar dan kami semua kembali menjalani kehidupan seperti biasa," tambahnya.

"Kami melalui satu wabak yang melanda seluruh dunia. Coronavirus telah memberi kesan kepada banyak tempat dan ia tidak boleh dipandang rendah."

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen