Naib presiden Inter, Javier Zanetti, tidak berselindung bahawa juara Serie A itu sedang menghadapi "masalah kewangan yang runcing" di celah-celah ketidakpastian pemilikan mereka.

Keputusan seri 1-1 di antara Atalanta dengan Sassuolo minggu lalu menyaksikan Inter ditabalkan sebagai juara Itali buat pertama kalinya sejak Jose Mourinho memacu mereka mengungguli tiga kejuaraan pada 2009-10, secara tidak langsung mengakhiri dominasi Juventus selama sembilan musim berturut-turut.

Walaupun membawa kejayaan ke Inter, masa depan pengurus, Antonio Conte, masih samar berikutan situasi kewangan Nerazzurri yang disebabkan krisis COVID-19 hingga pemilik, Suning Holdings Group, dilaporkan sedia mempertimbangkan untuk menjual kelab terbabit.

Laporan mengenai gergasi Serie A itu mungkin berpindah milik muncul kali pertama pada pertengahan musim ini dan khabar angin mengenai kedudukan pemilik dari China tersebut -- yang memperoleh saham majoriti pada 2016 -- terus berlegar.

"Memang benar kelab ini mungkin dijual pada pertengahan musim," kata bekas bintang dan kapten Inter, Zanetti, kepada La Nacion.

"Kami mengalami masalah kewangan yang serius walaupun kami bukan satu-satunya kelab yang menghadapi kesukaran.

"Saya melihat jalan untuk meningkat sebagai sebuah kelab. Pengurus telah mencapai sesuatu yang luar biasa sepanjang dua tahun ini, kini terserah kepada kami untuk memperbaiki mekanisme dalaman dan bercita-cita untuk sesuatu yang lebih gemilang.

"Masalah kewangan masih wujud dan memerlukan beberapa tahun untuk menemui semula keseimbangan. Kami memerlukan peminat untuk kembali ke stadium bagi menggembirakan penaja. Pada asasnya, kehidupan menjadi kembali normal.

"Kami tidak boleh berselindung, ini adalah detik sukar tetapi kami mendambakannya agar kami boleh membuat langkah yang lebih besar ke depan. Apa yang kami perlukan adalah strategi menyeluruh yang mampu menjamin kejayaan jangka panjang."




Conte bakal meraih gelaran Serie A keempat peribadinya musim ini -- hanya lima pengurus yang pernah berjaya menawan Scudetto sekurang-kurangnya empat kali.

Bekas pengendali Itali itu muncul pengurus kedua dalam sejarah Serie A di samping Giovanni Trapattoni yang memenangi Scudetto bersama Inter dan Juve.

"Conte telah mendahulukan etika kerja dan mentaliti," kata Zanetti.

"Bahkan dia meyakinkan pemain termuda bahawa projeknya mampu berfungsi. Sejak dia tiba, tidak ada satu hari pun yang berlalu tanpa dia memikirkan bagaimana untuk memperbaiki pasukan ini. Dia meyakinkan kelab untuk menuruti permintaannya.

"Ada beberapa keraguan awal tentang masa lalunya di Juventus tetapi mereka belajar mencintainya. Dia fokus sejak hari pertama dan menyahut cabaran ini seperti Interista yang sejati."