Pemain tengah skuad B-19 negara, Zahril Azri Zabri, memberi penghargaan kepada jurulatih Felda United, B. Sathianathan, kerana banyak memberi ruang kepada dirinya beraksi dalam skuad Liga Perdana walaupun masih mentah daripada segi pengalaman.

Pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu antara pemain muda yang cukup menonjol dalam pasukan Felda musim ini.

Zahril pernah mendapat pujian Sathianathan sebagai bintang masa depan Felda, malah tidak sangka dapat meraih banyak pengalaman musim ini kerana beraksi dengan pemain yang lebih senior.

Situasi itu meletakkan dia kini semakin matang dalam permainannya berbanding rakan sepasukan lain dan ia satu petanda baik kepada cabaran skuad B-19 tahun dalam Kejohanan AFC B-19, di Indonesia.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, B. Sathianathan, yang memberi peluang kepada pemain-pemain muda seperti saya beraksi di peringkat Liga Perdana dan Piala Malaysia.

"Proses ini sangat membantu saya sepanjang tahun ini kerana dapat bermain dalam kesemua perlawanan Liga Malaysia dengan baik hasil bantuan pemain-pemain senior," katanya.

Zahril, yang meminati corak permainan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Nazmi Faiz Mansor, lega tiada sebarang tekanan tinggi diletakkan kepada skuad B-19 negara, sekali gus membenarkan mereka beraksi seperti biasa dan cuba menampilkan kejutan dalam saingan peringkat Kumpulan D.

"Kami mampu memberi saingan yang sengit kepada pasukan-pasukan lain. Kami pamer permulaan cemerlang dalam saingan AFF yang lalu. Tiada siapa sangka kami mampu menjadi juara. Dengan kerjasama semua orang dalam pasukan, kami berjaya melakukannya," tambahnya.